Belanjawan 2027 tingkat sokongan rakyat kepada Kerajaan Persekutuan, Selangor

10 Okt 2026, 5:00 AM
Belanjawan 2027 tingkat sokongan rakyat kepada Kerajaan Persekutuan, Selangor

SHAH ALAM, 10 OKT: Belanjawan 2027 berpotensi meningkatkan sokongan rakyat bukan sahaja kepada Kerajaan Persekutuan, malah pentadbiran Selangor, namun kesannya bergantung kepada sejauh mana inisiatif diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Penganalisis politik berpandangan langkah diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menepati keperluan rakyat, selain menangani beberapa isu lama yang membebankan golongan tertentu.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata bantuan tunai, pengurangan cukai dan insentif kepada pekerja gig mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Tema belanjawan kali ini, 'Menjulang Harapan, Berpijak di Bumi Nyata', berpaksikan keadaan sebenar rakyat, namun tetap berusaha memberikan yang terbaik kepada semua, termasuk menambah wang dalam tangan rakyat.

“Tambahan wang ini saya fikir dapat membantu Kerajaan Negeri, khususnya Selangor, menghadapi bukan sahaja pilihan raya umum, malah pilihan raya negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Semalam, Anwar mengumumkan pelbagai inisiatif untuk rakyat termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40) yang bakal menikmati peningkatan had pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 selepas tidak berubah sejak 2010.

Gaji minimum turut diumumkan meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun tahun depan, manakala kadar gaji minimum baharu RM2,500 sebulan akan diperkenalkan bagi pekerja separa mahir dan graduan.

Azmi menyifatkan Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada golongan yang sebelum ini kurang mendapat tumpuan seperti M40, di samping meneruskan bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Banyak manfaat disediakan bukan sahaja kepada B40 melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), malah M40 menerusi pengurangan cukai pendapatan.

“Pengurangan cukai itu boleh memberi tambahan wang boleh belanja sehingga RM1,600 kepada pembayar cukai, manakala pakej insentif RM160 juta bersama Grab bertujuan meningkatkan pendapatan asas atau pendapatan bulanan median pekerja gig sebanyak RM200 serta membantu perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mereka,” katanya.

Pelaksanaan penentu kejayaan

Sementara itu, penganalisis politik bebas, Ganesh@Sree turut berpandangan Belanjawan 2027 memberi kelebihan dari segi persepsi rakyat terhadap kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengumuman pelbagai bantuan dan peruntukan sahaja tidak menjamin peningkatan sokongan pengundi.

Menurutnya, belanjawan itu memenuhi keperluan pelbagai kumpulan menerusi bantuan tunai, pelepasan cukai dan sokongan lain.

Antara peruntukan utama ialah RM16 bilion bagi STR dan SARA, hampir RM69 bilion untuk pendidikan serta RM47.7 bilion bagi sektor kesihatan.

Namun, beliau berkata kesan politik belanjawan itu bergantung kepada sama ada peruntukan tersebut benar-benar dapat meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan memudahkan kehidupan seharian rakyat.

“Rakyat tidak mengundi berdasarkan berapa bilion ringgit diumumkan di Parlimen.

“Mereka membuat pilihan berdasarkan sama ada kehidupan menjadi lebih mudah, pendapatan mampu menampung lebih banyak keperluan dan masa depan kelihatan lebih cerah,” katanya ketika dihubungi.

Ganesh turut menyifatkan cadangan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebagai langkah penting kepada golongan pekerja.

“Ini bermakna tambahan RM300 sebulan atau hampir 18 peratus.

“Bagi mereka yang menerima gaji minimum, tambahan ini boleh membawa perubahan bermakna, terutama untuk membeli barangan dapur, membayar kos pengangkutan dan menampung perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Anwar membentangkan Belanjawan 2027, yang juga belanjawan kelima Kerajaan MADANI, di Dewan Rakyat semalam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.