Belanjawan 2027: Pelan Medi Asas dilancar Januari depan, tawar perlindungan mampu milik

9 Okt 2026, 9:57 AM
Belanjawan 2027: Pelan Medi Asas dilancar Januari depan, tawar perlindungan mampu milik
Belanjawan 2027: Pelan Medi Asas dilancar Januari depan, tawar perlindungan mampu milik
Belanjawan 2027: Pelan Medi Asas dilancar Januari depan, tawar perlindungan mampu milik

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pelan Medi Asas akan dilancarkan bermula Januari 2027 pada harga mampu milik dengan kadar bayaran hospital mengikut jenis diagnosis dan rawatan bagi memastikan kos perubatan lebih terkawal serta mudah dijangka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini berkata menerusi pelan itu, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur di bawah 55 tahun dibenarkan membayar premium Medi Asas menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera.

“Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang daripada 75 pekerja, kerajaan akan mensubsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja, terhad kepada 50 pekerja bagi setiap syarikat. Ini dijangka memanfaatkan sehingga 200,000 pekerja PKS," kata beliau.

Selain itu, Anwar ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” berkata rekod perubatan elektronik diperluas berasaskan prinsip satu individu satu rekod bagi meningkatkan tahap ketelusan perkhidmatan perubatan swasta di negara ini.

“Mulai 2027, bil hospital swasta menggunakan kategori caj yang seragam dan telus supaya pesakit memahami setiap bayaran dan herotan harga dapat dikurangkan.

“Portal e-CKAPS turut dibangunkan bagi membolehkan urusan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dibuat sepenuhnya dalam talian mulai 2027, dengan tempoh pemprosesan disasar berkurang hingga 65 peratus,” kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan juga menyediakan kemudahan kesihatan bagi membantu rakyat susah mendapatkan rawatan perubatan, antaranya meningkatkan Dana Tabung Bantuan Perubatan kepada RM60 juta berbanding RM40 juta sebelum ini.

Beliau berkata peruntukan RM80 juta disediakan melalui Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi menawarkan saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan dan insentif rawatan kanser kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pasangan berumur 40 tahun ke atas.

Anwar berkata Skim MySalam yang telah memanfaatkan 1.6 juta rakyat dengan jumlah tuntutan mencecah RM1.3 bilion sejak diperkenalkan, juga akan diteruskan pada 2027.

Beliau berkata Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) akan menawarkan rawatan kesuburan mampu milik kepada 2,000 pasangan dan perkhidmatan kesejahteraan lelaki kepada 42,000 individu.

Anwar berkata saringan talasemia percuma diperluas kepada suami dan anak pembawa bagi mengurangkan risiko kelahiran bayi talasemia major.

Sementara itu, Anwar berkata peruntukan menyumber luar pesakit ke hospital lain ditingkatkan kepada RM200 juta bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit mendapatkan rawatan perubatan.

Beliau berkata skop kerjasama itu juga akan diperluas merangkumi penggunaan fasiliti kesihatan swasta, termasuk dewan bedah oleh sektor awam dan skop program berkaitan turut diperluas meliputi Expanded Newborn Screening, Prenatal Genetic Testing serta perkhidmatan rehabilitasi.

Di samping itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan pelaburan bernilai RM1 bilion akan terus mempergiat pelaksanaan projek sistem rekod perubatan elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.