Belanjawan 2027: Peminjam PTPTN berpendapatan RM2,500 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik

9 Okt 2026, 9:36 AM
Belanjawan 2027: Peminjam PTPTN berpendapatan RM2,500 ke bawah diberi penangguhan bayaran balik

SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu, bayaran balik minimum RM50 dikenakan ke atas peminjam berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan.

“Langkah ini akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam. Kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara teratur, akan diberi diskaun 10 peratus.

“Kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai kepada peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja.

“Galakan ini meliputi bayaran balik yang dibuat mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2028,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN ialah RM10.7 bilion membabitkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos lalu.

Menurut KPT, pelbagai inisiatif sudah dan akan diambil, antaranya memperkukuh pengurusan pinjaman dengan menambah baik terma dan syarat pinjaman agar lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan berdasarkan kemampuan PTPTN.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.