Belanjawan 2027: 3,500 bilik darjah tambahan siap menjelang akhir tahun

9 Okt 2026, 8:53 AM
Belanjawan 2027: 3,500 bilik darjah tambahan siap menjelang akhir tahun
Belanjawan 2027: 3,500 bilik darjah tambahan siap menjelang akhir tahun
Belanjawan 2027: 3,500 bilik darjah tambahan siap menjelang akhir tahun

SHAH ALAM, 9 OKT: Sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini bagi menampung pertambahan murid Tahun Satu yang dijangka mencecah hampir 500,000 orang tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembinaan bilik darjah itu akan dilaksanakan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan pendidikan, termasuk menampung lebih 70,000 kanak-kanak berusia enam tahun yang dijangka memasuki Tahun Satu.

Menurut beliau, selain pembinaan bilik darjah tambahan, kerajaan turut bercadang membina sekolah baharu, bangunan prasekolah serta penambahbaikan kemudahan di sekolah sedia ada bagi memenuhi keperluan pendidikan.

“Antara projek yang disenaraikan adalah Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor di Ipoh, Perak serta pembinaan gantian penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pamol di Kluang, Johor.

“Turut dirancang adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Mahkota Cheras dan pembinaan bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata sebuah kolej matrikulasi baharu juga sedang dibina di Marang, Terengganu bagi menambah kemudahan pendidikan di peringkat tersebut.

Sementara itu, katanya, kerajaan akan menambah baik Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa, alumni dan masyarakat dalam usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang berkualiti.

Beliau berkata, penambahbaikan itu membolehkan sumbangan sukarela disalurkan bagi membiayai operasi sekolah, pembaikan kemudahan, pembelian peralatan serta pelaksanaan program murid.

“Sumbangan tunai kepada tabung berkenaan juga layak mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, sekali gus menggalakkan lebih ramai pihak menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan sekolah,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.