Projek bina bilik darjah tambahan dijangka siap sepenuhnya Disember ini

7 Ogos 2026, 12:00 AM
Projek bina bilik darjah tambahan dijangka siap sepenuhnya Disember ini

ALOR GAJAH, 7 OGOS: Projek pembinaan bilik darjah tambahan menggunakan Modular Precast System (MPS) di bawah Program Cakna MADANI dijangka siap sepenuhnya Disember ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata penggunaan sistem pembinaan berkenaan membolehkan projek dilaksanakan lebih pantas mengikut jadual, sekali gus memastikan kemudahan itu dapat digunakan bagi sesi persekolahan tahun satu 2027.

"Secara umum saya menjawab soalan (perkembangan pembinaan) itu, ada jumlah yang tertentu di seluruh negara. Oleh kerana kita menggunakan sistem modular MPS, maka segalanya mengikut jadual.

"Sebelum hujung tahun, sekolah-sekolah yang diperlukan itu akan siap," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan turun padang dan meninjau projek pembangunan Persekutuan di Pejabat Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah di sini hari ini.

Ahmad berkata idea menggunakan MPS dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, kerana teknologi itu terbukti mampu mempercepat pembinaan tanpa menjejaskan kualiti.

Beliau berkata sistem berkenaan mengambil inspirasi daripada kaedah pembinaan modular di China yang mampu menyiapkan bangunan 10 tingkat dalam tempoh hanya 28 jam 45 minit.

"Kos dia lebih murah, lebih pantas, kualiti tetap sama. Ketahanan puluhan tahun lagi juga. Setakat ini kita hanya buat bangunan tambahan, namun prinsipnya boleh digunakan untuk bangunan kekal," katanya.

Beliau berkata di daerah Alor Gajah, JKR sedang melaksanakan pembinaan bilik darjah tambahan tahun satu sesi 2027 di bawah Program Cakna MADANI membabitkan 14 sekolah dengan kos keseluruhan RM12.05 juta.

Selain itu, jabatan berkenaan turut melaksanakan pembinaan baharu Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) dan Gelanggang Serbaguna Terbuka Berbumbung di dua sekolah dengan nilai projek RM1.83 juta.

Sementara itu, Ahmad berkata JKR Daerah Alor Gajah kini turut melaksanakan lima Projek Bangunan Persekutuan bernilai RM22.6 juta, melibatkan pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi, pembinaan bangunan gantian kantin di Sekolah Ramuan Cina Besar, pembinaan Masjid Lesung Batu serta menaik taraf kemudahan latihan Jabatan Hospitaliti di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah.

"Sebanyak RM5.1 juta lagi diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan Bangunan Persekutuan yang melibatkan agensi pelanggan di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Kesihatan," katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.