SHAH ALAM, 9 OKT: Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa sebagai langkah memperketat tindakan terhadap kesalahan memandu berbahaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan kes kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang yang masih membimbangkan meskipun penguatkuasaan dipertingkat.
“Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah. Tragedi seumpama ini (nahas di LPT1 Temerloh pada Ogos lalu) menyentak sanubari kita, bahawa walaupun penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih lagi membimbangkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 hari ini.
Selain pindaan undang-undang, kerajaan turut mewajibkan pemasangan sistem telematik pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko.
Sistem itu turut dirancang untuk dihubungkan dengan alat pengesan alkohol bagi memastikan keadaan pemandu diperiksa sebelum memulakan perjalanan.
Menurut Anwar, pelaksanaan secara sukarela akan diteruskan sehingga 2027, manakala kerajaan sedang membangunkan pangkalan data pemandu bagi tujuan penguatkuasaan.
Dalam usaha meningkatkan keselamatan pemandu kenderaan perdagangan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu.
Sementara itu, kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM40 juta bagi memperkasa peranan jurutera daerah untuk mempercepat pelaksanaan projek kecil, termasuk membaiki jalan berlubang.
Sebanyak RM2.5 bilion turut disediakan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, termasuk hampir RM800 juta khusus untuk kontraktor G1 hingga G4, manakala RM5.7 bilion diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan negeri menerusi peruntukan MARRIS.
Bagi meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia pula akan membina 15 tempat berteduh motosikal, memasang 70 kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya PLUS dan menyediakan 50 kemudahan pengecasan kenderaan elektrik di lokasi strategik.








