PUTRAJAYA, 9 OKT: Selangor berhasrat membangunkan ekosistem berlepas dan mendarat secara pesawat elektrikmenegak (eVTOL) bagi membuka peluang kepada syarikat tempatan, jurutera muda serta tenaga mahir menyertai industri mobiliti udara masa depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bukan sekadar membawa masuk teknologi baharu, sebaliknya membina keupayaan tempatan merangkumi pembuatan komponen, penyelenggaraan serta pembangunan kepakaran industri.
“E20 eVTOL ialah sebuah kenderaan pengangkutan dan perkhidmatan yang cuba untuk beroperasi di Malaysia dan ia sebenarnya menepati imaginasi dan juga mimpi untuk kita mempunyai kenderaan ataupun kereta terbang.
“Sebelum ini kita mungkin lihat prototaipnya sahaja, tapi hari ini kita dapat lihat kenderaan sebenar. Lebih bangga ia dibangunkan anak Malaysia yang sudah berkelana di pelbagai negara termasuk Australia dan China,” katanya selepas menyempurnakan perasmian Pameran TCab Tech E20 eVTOL: Jurutera Malaysia, Impak Global di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan TCab Tech bagi meneroka peluang pengkomersialan pesawat E20 eVTOL keluaran TCab Tech di Malaysia.
MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping dan Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TCab Tech, Ng Yon Wui, sempena pembukaan Pameran TCab Tech E20 eVTOL: Jurutera Malaysia, Impak Global.
Menurut Amirudin, di bawah MoU itu, TCab Tech akan menyumbang kepakaran dalam penyelidikan, pembangunan dan pembuatan pesawat eVTOL, manakala Sidec akan memanfaatkan rangkaian ekosistem dan industrinya bagi memudah cara penglibatan TCab Tech dengan agensi berkaitan.
“Ia termasuk pemain industri serta rakan strategik di Selangor ketika syarikat itu membuat persediaan untuk mendapatkan pensijilan dan mengkomersialkan teknologi berkenaan di Malaysia,” katanya.
Pameran anjuran bersama Sidec, TCab Tech dan IOI City Mall itu, menandakan penampilan sulung pesawatE20 pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL) kepada orang ramai di Malaysia.
Pameran pesawat dengan kapasiti lima tempat duduk dibangunkan oleh TCab Tech itu berkenaan dibuka kepada orang ramai secara percuma di Symphony East 3, IOI City Mall, dari jam 10 pagi hingga 10 malam sehingga 9 November sekali gus menandakan kemasukan rasmi TCab Tech ke pasaran Malaysia.











