SHAH ALAM, 8 OKT: Bekalan air mentah Selangor ketika ini mencukupi untuk bertahan antara tiga hingga sembilan bulan sekiranya fenomena El Nino yang berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat membawa cuaca panas berpanjangan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan pemantauan sehingga bulan lalu, bekalan air mentah negeri masih berada pada tahap selamat.
“Alhamdulillah, saya pantau (monitor) setakat bulan lepas kita masih boleh bertahan untuk minimum tiga bulan, maksimum sembilan bulan, maknanya kalau enam bulan sebenarnya sangat selamat.
“Dijangkakan pertengahan Oktober akan berlaku peralihan monsun makanya akan bermulalah musim hujan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Amirudin berkata perhatian lebih perlu diberikan antara Februari hingga April tahun depan kerana tempoh itu dijangka menyaksikan cuaca panas dan kekurangan hujan yang boleh memberi kesan langsung kepada bekalan air mentah.

“Jadi di antara Februari hingga April adalah masa permulaan musim panas dan di situlah kemungkinan kita akan berdepan cuaca yang panas dan kekurangan hujan. Sekarang mungkin cuaca panas tetapi ada jumlah hujan tinggi.
“Jadi kita sedang melihat unjuran sekitar Februari hingga April tahun depan. Jadi masa itu adalah masa yang agak perlu lebih pemerhatian dan penelitian. Sebenarnya super El Nino ini bermula sekitar Julai hingga Ogos, itu adalah puncak sepatutnya musim panas.
“Tetapi Alhamdulillah hujan masih lagi turun dan sebagainya dan ia dibantu pula dengan peralihan monsun nanti akan berlaku hujan. Jadi sebab itu saya rasa bekalan air mentah kita sebenarnya berpada dan cukup untuk rakyat Selangor,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata fenomena El Nino dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan dan berpotensi mencapai tahap ‘super’ atau sangat kuat mulai bulan ini hingga Januari 2027.
Katanya, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko cuaca lebih panas dan kering serta kejadian pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan jerebu.
Beliau berkata, analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati Monsun Barat Daya yang berlaku serentak dengan fenomena El Nino boleh menyebabkan taburan hujan lebih rendah serta cuaca lebih panas dan kering.









