SHAH ALAM, 8 OKT: Johan Setia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Selangor pagi ini dengan 178, diikuti Shah Alam (169), Banting (167), Petaling Jaya (165), Klang (164) dan Kuala Selangor (156).
Bacaan itu menjadikan kesemua enam kawasan pemantauan di Selangor berada pada tahap tidak sihat setakat jam 7 pagi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan lain di sekitar Lembah Klang yang turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Putrajaya dengan IPU 174, Batu Muda (173) dan Cheras (167).
Secara keseluruhan, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat, manakala 30 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai, khususnya golongan sensitif, disaran memantau bacaan semasa menerusi APIMS dan mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk.






