KUANTAN, 7 OKT: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Pahang dan Malaysia amnya, bersama-sama berdoa serta memohon ke hadrat Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi membantu meredakan keadaan jerebu yang melanda ketika ini.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mejar Jen (B) Datuk Mohamed Zahari Yahya menerusi kenyataan berkata baginda turut menzahirkan harapan, agar masyarakat serta pihak syarikat perladangan di Kalimantan, Indonesia, diberikan kesedaran untuk menghentikan aktiviti pembakaran secara terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat di rantau ini.
Beliau memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah usaha menangani jerebu, memerlukan kerjasama semua pihak, selain ikhtiar berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.
“Sehubungan dengan itu, baginda menyeru rakyat agar terus berdoa kepada Allah SWT, di samping mengamalkan langkah-langkah sewajarnya bagi menghadapi keadaan jerebu yang berlaku.
“Baginda turut berharap agar keadaan cuaca kembali pulih dan hujan yang membawa rahmat, dapat turun dalam masa terdekat, sekali gus membantu membersihkan udara serta mengurangkan kesan jerebu yang sedang dialami,” katanya.







