SHAH ALAM, 20 DIS: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan semua pihak tidak mempolitikkan kelewatan agihan makanan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) negeri itu.
Titah baginda, kelewatan penghantaran makanan pada hari pertama banjir bukan disengajakan.
Menurut baginda, kelewatan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk banjir mengejut menyebabkan wujud sedikit kekangan menyediakan makanan kepada mangsa, lapor Berita Harian.
"Alhamdulillah, saya berharap kelewatan seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Sebarang isu kemungkinan timbul perlu dijangka lebih awal dan semua pihak khususnya agensi kerajaan, pembekal makanan perlu bersiap siaga sepanjang musim tengkujuh," titah baginda ketika berangkat melawat PPS SK Bunut Rendang, di sini, hari ini.
Baginda diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di PPS terbabit dan turut mengurniakan sumbangan kepada mereka.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai kelewatan penyediaan makanan kepada mangsa banjir di beberapa PPS.
Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan mangsa dipindahkan ke PPS sentiasa menjaga kebersihan lokasi mereka ditempatkan sementara ketika banjir.
"Jangan mengharapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mengurus kebersihan tandas.
"Kita perlu menjadikan kebersihan sebagai amalan bersama bagi mengelak penularan penyakit," titah baginda.
Setakat jam 6 petang tadi, seramai 6,468 mangsa membabitkan 2,199 keluarga dipindahkan ke 52 PPS di seluruh negeri Pahang.


