SHAH ALAM, 7 OKT: Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 dijangka diserahkan kepada Kementerian Pertahanan pada April 2027.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tarikh baharu itu diberikan LUNAS (Lumut Naval Shipyard) selepas kontraktor dipertanggungjawabkan gagal memenuhi komitmen untuk menyerahkan kapal pada Disember 2026, lapor Berita Harian.
"Kelewatan itu berpunca daripada rangkaian kerja yang masih belum selesai, termasuk kerja-kerja perpaipan, pemasangan kabel, pemasangan dan pemeriksaan peralatan serta aktiviti pengujian dan pentauliahan yang seterusnya.
"Di pihak Kementerian Pertahanan, mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) khususnya, kita sangat berasa dukacita, kecewa dan tidak selesa dengan kelewatan dan prestasi pembinaan LCS yang dipertanggungjawabkan kepada LUNAS.
"Kementerian Pertahanan adalah klien, pelanggan, bukannya kontraktor. Kita tidak membina kapal itu.
"Perubahan tarikh penyiapan dan kelewatan ini adalah sesuatu yang sememangnya memberi kesan kepada kesiagaan ATM dan juga pertahanan negara," katanya Ketika menggulung perbahasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Media melaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati projek LCS lewat 7.55 peratus daripada jadual sehingga 25 Jun lalu, sekali gus menimbulkan risiko terhadap penyerahan fizikal (PHO) LCS 1, yang dijangka turut memberi kesan kepada PHO LCS 2 hingga LCS 5.
Kelewatan itu dilaporkan berlaku susulan sistem pelancar peluru berpandu antikapal (NSM) yang masih belum tersedia selepas permit eksportnya dibatalkan secara kekal oleh Kerajaan Norway.
Susulan itu, Mohamed Khaled berkata, pihak kementerian mengakui penerimaan LCS pada April 2027 adalah tanpa NSM.
Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mengunjurkan bahawa kelewatan penyiapan LCS 1 sehingga Disember 2035.
"Tetapi kalau kita mencari alternatif kepada pembelian-pembelian misil yang sudah kita, sedang dan akan lakukan daripada LIG Korea, Roketsan Turkiye ataupun daripada MBDA Perancis, masa yang diambil untuk penghantaran hanya tiga tahun.
"Jadi kita sedang timbang semua ini dan akan pastikan supaya masa penghantaran, pemasangan tidak lebih ataupun tidak terlalu lama seperti kontrak Norway," katanya.
Jelasnya lagi, walaupun kapal LCS ini tidak ada NSM namun ia dilengkapi sistem persenjataan lain.
"LCS akan tetap dilengkapi dengan beberapa jenis sistem persenjataan yang lain, antaranya misil dari permukaan ke udara, misil daripada permukaan ke laut dalam selain berhadapan ancaman daripada kapal selam.
"Kita juga mempunyai sistem peperangan elektromagnetik untuk menggagalkan segala serangan-serangan yang akan dilakukan dan juga Combat Management System yang mengintegrasikan semua keupayaan ini dengan sistem radar dan pengesan kapal," katanya.







