SHAH ALAM, 6 OKT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjalankan siasatan dalaman susulan rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis kristal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Laos.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan itu dijalankan bagi melihat perkara yang membabitkan pihak AKPS, namun tidak memperincikan elemen yang disiasat, lapor Berita Harian
Bagaimanapun, katanya, siasatan berkaitan rampasan dadah perlu dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
“Siasatan dalaman memang dibuat untuk pihak kami. Namun, perkembangan lanjut berhubung kes ini perlu dirujuk kepada JSJN kerana ia berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi.
Hari ini, media melaporkan polis Laos merampas 521 kg kristal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Seramai 13 individu ditahan berhubung kes itu.
Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper melaporkan operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.







