KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat keperluan untuk menjalankan kajian asas bagi menilai kesan penempatan jauh terhadap rumah tangga pegawai perubatan, termasuk hubungan suami isteri dan anak-anak.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ketika ini kementerian tidak mempunyai data khusus mengenai keretakan rumah tangga atau perceraian akibat pegawai ditempatkan jauh daripada keluarga.
“Saya kira ada kepentingan untuk kita lakukan kajian asas mengenai sejauh mana (a baseline study of how) terkesannya rumah tangga mereka akibat perpisahan yang begini lama, akibat jawatan atau akibat tugasan dan kerjaya,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu dibangkitkan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai buli, penempatan, pertukaran, kebajikan dan brain drain pegawai perubatan KKM.
Dzulkefly berkata keputusan mengenai penempatan pegawai dibuat berdasarkan kepentingan dan kekosongan jabatan dengan mengambil kira antaranya kelayakan, kompetensi, pengalaman, tempoh perkhidmatan, jarak tempat kerja, tanggungan serta masalah kesihatan pegawai atau ahli keluarga.
Beliau berkata kira-kira 74 peratus permohonan berkaitan penempatan berjaya diuruskan manakala selebihnya tidak dapat dipenuhi atas pelbagai faktor termasuk ketiadaan kekosongan.
Bagi urusan pertukaran, Dzulkefly berkata tiada tempoh menunggu seragam kerana ia bergantung kepada tarikh permohonan, tarikh tutup kitaran, mesyuarat jawatankuasa berkaitan serta keperluan perkhidmatan, dengan proses pertukaran dilaksanakan sekurang-kurangnya empat kali setahun.
Beliau berkata KKM turut menyediakan sistem pertukaran suka sama suka (P3S) yang setakat ini menyaksikan 118 pasangan jururawat berjaya mendapat padanan, selain lapan kes melibatkan keperluan perkhidmatan dan 18 dalam perkhidmatan farmasi.
Mengenai isu buli dan budaya kerja toksik, Dzulkefly berkata KKM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota kementerian pada 21 Ogos 2025, merangkumi prosedur pelaporan, pencegahan dan intervensi.
Beliau berkata sebanyak 730 aduan direkodkan menerusi sistem aduan sejak 1 Okt 2022 hingga 28 Sept lepas, dengan empat aduan disahkan berasas dan tindakan telah diambil, manakala 726 lagi melibatkan pelbagai isu termasuk perkhidmatan, operasi, pertukaran dan komunikasi.
Dzulkefly turut memberi jaminan beliau tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan pemberi maklumat daripada sebarang tindakan pihak atasan.
“Saya selaku menteri tidak akan berkompromi… saya tidak berkompromi atas perkara ini dan saya mahukan mereka dilindungi,” katanya.







