Kecurian kabel di Selangor meningkat, kerugian cecah jutaan ringgit

9 Feb 2026, 7:06 AM
Kecurian kabel di Selangor meningkat, kerugian cecah jutaan ringgit

SHAH ALAM, 9 FEB: Kes kecurian kabel di Selangor menunjukkan trend peningkatan membimbangkan, khususnya melibatkan lampu jalan dan infrastruktur jalan raya, kata EXCO Infrastruktur.

Dato’ Ir Izham Hashim berkata, kenaikan harga aluminium di pasaran dikenal pasti sebagai antara punca utama peningkatan kes berkenaan, berbanding sebelum ini yang lebih banyak melibatkan kabel tembaga.

Menurutnya, isu kecurian kabel itu turut dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat pemukiman Jawatankuasa Tetap Negeri susulan peningkatan kes yang semakin serius dan berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Nilai aluminium kini tinggi. Kalau sebelum ini kebanyakan kabel menggunakan tembaga, tetapi sekarang ini aluminium digunakan dan ia mendorong sasaran utama kecurian.

“Situasi ini mengakibatkan kerugian besar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan jumlah kerugian dilaporkan mencecah jutaan ringgit, terutama sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu JKR Selangor serta Surat Setuju Terima Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan Tahun 2026-2030 di Stadium Mini JKR Selangor, di sini, hari ini.

Ir Izham berkata, Kerajaan Negeri kini sedang mengumpul data serta inventori kerugian daripada JKR, TNB dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan gambaran sebenar tahap keseriusan isu kecurian kabel.

Menurutnya, pertemuan bersama pihak keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan dalam masa terdekat bagi merangka langkah proaktif untuk membendung kegiatan berkenaan.

“Kerugian bukan sahaja melibatkan kos penggantian kabel, malah turut menjejaskan keselamatan serta kemudahan awam seperti lampu jalan,” katanya.

Sehubungan itu, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri akan memperluas pemasangan lampu jalan berasaskan tenaga solar sebagai antara langkah mengurangkan kes kecurian kabel.

“Kita akan memaklumkan angka rasmi kerugian sebenar serta tindakan lanjut selepas perbincangan dengan semua pihak berkaitan selesai,” katanya.