SHAH ALAM, 7 OKT: Perimenopaus bukan sekadar mengenai haid tidak teratur, malah perubahan hormon dalam fasa itu turut berkait dengan risiko kesihatan wanita dalam jangka panjang.
Pengarah Perubatan Femma Clinic, Dr Alia Zafira Zaferi berkata fasa itu boleh bermula seawal usia 40 tahun dan berlanjutan antara lapan hingga 10 tahun sebelum menopaus.
Menurut beliau, hormon estrogen dan progesteron memainkan peranan penting terhadap perlindungan kardiovaskular serta membantu mengawal paras kolesterol.
Katanya, apabila paras hormon berkenaan menurun, wanita boleh menjadi lebih terdedah kepada masalah kesihatan termasuk kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan diabetes.
“Memang sangat biasa dalam amalan kami melihat wanita antara usia 40-an hingga 50-an mula mengalami masalah kolesterol, darah tinggi, kencing manis disebabkan hormon dah kurang.
“Bagaimanapun, saya ingin ingatkan memang semua wanita kena faham bahawa perkara ini memang akan berlaku,” katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Kenali tanda awal perimenopaus
Dr Alia berkata antara tanda awal yang boleh dialami ialah gangguan tidur, mudah marah, rasa panas secara tiba-tiba, berpeluh pada waktu malam serta perubahan berat badan.
“Perimenopaus ini sebenarnya fasa sebelum menopaus dan boleh berlaku seawal usia 40 tahun.
“Pada fasa perimenopaus yang paling awal, kita boleh perasan gangguan dalam tidur, tak boleh tidur lena dan asyik terjaga,” katanya.
Beliau berkata perubahan emosi, sukar tidur dan pertambahan berat badan bukan semata-mata disebabkan faktor usia, sebaliknya turut boleh dikaitkan dengan penurunan hormon progesteron.
“Progesteron ini adalah hormon yang buat kita relaks dan boleh tidur malam. Jadi bila progesteron turun, simptom pertama yang kita akan rasa ialah tidur malam tak cukup lena.
“Kita juga akan rasa mudah sangat marah sebab hormon sudah berubah,” katanya.

Protein, senaman kekuatan bantu tubuh
Selain pemeriksaan kesihatan, Dr Alia menekankan kepentingan pengambilan protein dan serat mencukupi serta aktiviti fizikal bagi membantu wanita melalui fasa perubahan hormon.
Menurutnya, protein penting untuk menyokong pembentukan otot, manakala senaman kekuatan membantu mengekalkan fungsi tubuh dan kesihatan tulang apabila usia meningkat.
“Protein memang nombor satu. Sebagai panduan, satu gram bagi setiap kilogram berat badan setiap hari.
“Bila kita makan banyak protein, kita kena makan banyak serat, jadi kena makan banyak sayur,” katanya.
Beliau turut menggalakkan aktiviti seperti berjalan di permukaan mendaki serta latihan kekuatan menggunakan beban.
“Kita nak fokus membina otot dan pastikan ada otot yang mencukupi untuk menyokong tulang dan badan.
“Boleh buat 'incline walk' dan angkat berat. Tak perlu angkat sampai 10 atau 15 kilogram, lima kilogram pun cukup tetapi sekurang-kurangnya ada beban,” katanya.

Terapi hormon perlu difahami, bukan ditakuti
Dr Alia berkata terapi penggantian hormon (HRT) merupakan antara pilihan bagi mengurus simptom serta mengurangkan risiko tertentu berkaitan kardiovaskular dan metabolik.
Jelas beliau, rawatan itu bukan bertujuan menghentikan menopaus, sebaliknya menggantikan hormon yang semakin berkurang.
“Kita bukan kata hendak hentikan menopaus daripada berlaku. Menopaus akan berlaku juga, cuma kita urus simptom dan kurangkan risiko kardiovaskular, metabolik serta kolesterol,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menggalakkan wanita mengambil HRT tanpa pemantauan doktor kerana tidak semua individu memerlukan rawatan berkenaan.
“Saya menyarankan untuk dapatkan pengawasan doktor terlebih dahulu kerana sesetengah pesakit tak perlu pun HRT.
“Sebelum mula HRT, kita kena tahu dulu apa risikonya dan kesan sampingannya sebelum membuat keputusan,” katanya.

Pemeriksaan kesihatan penting selepas 40-an
Dr Alia turut menyarankan wanita terutama berusia 40 tahun ke atas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun.
Katanya, pemeriksaan itu penting bagi memantau paras gula, kolesterol serta fungsi organ.
“Saya sarankan pemeriksaan kesihatan penuh. Kita tengok gula, kolesterol, buah pinggang, fungsi hati dan jantung.
“Ini kena buat sekurang-kurangnya setahun sekali, terutama bila dah masuk usia 40 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata perimenopaus dan menopaus merupakan proses semula jadi yang akan dilalui semua wanita.
Namun katanya, pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pemeriksaan berkala boleh membantu mereka melalui fasa itu dengan lebih baik.
“Perimenopaus dan menopaus ini adalah transisi yang memang semua wanita akan lalui. Untuk melalui transisi ini dengan lebih baik, jaga makan, kurangkan gula, lebihkan protein dan kena sentiasa bergerak.
“Jangan tunggu sampai dah sakit atau ada masalah baru nak buat pemeriksaan kesihatan,” katanya.







