SHAH ALAM, 6 OKT: Projek menaik taraf palong Sawah Sempadan dari Tali Air Sawah Sempadan 7 hingga Tali Air Sawah Sempadan 12 (TASS 7-TASS 12) di Tanjong Karang kini berada pada peringkat pengambilan tanah, manakala kerja fizikal dijangka bermula pada awal 2028.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata projek bernilai anggaran RM12.9 juta itu melibatkan kawasan seluas 931 hektar dengan panjang keseluruhan 31.81 kilometer serta 456 petani.
“Skop utama projek ini merangkumi pengambilan tanah sebanyak 438 lot, membina semula struktur palong, membaik pulih struktur palong sedia ada, lantikan perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci serta menaik taraf sistem saliran pertanian,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dato' Dr Zulkafperi Hanafi (Bebas-Tanjong Karang) mengenai status terkini projek berkenaan serta jadual pelaksanaan kerja fizikal selepas urusan pengambilan tanah diselesaikan.

Menurut Mohamad, sebanyak 85 daripada keseluruhan 438 lot sudah selesai melalui proses bicara dan kini dalam proses pembayaran pampasan kepada pemilik tanah.
“Baki 353 lot daripada keseluruhan 438 lot tersebut akan dilaksanakan proses bicara secara berperingkat.
“Dijangka semua urusan pengambilan tanah akan selesai sepenuhnya pada hujung tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata kerja fizikal dijangka dilaksanakan pada awal 2028 selepas urusan pengambilan tanah bagi keseluruhan jajaran selesai sepenuhnya.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan usaha menaik taraf keseluruhan palong di Skim Pengairan IADA Barat Laut Selangor telah dimulakan di Pengairan Sawah Sempadan, Tanjong Karang yang berkeluasan 2,500 hektar dan melibatkan 1,058 petani.
Menurutnya, tali air lama di kawasan itu dibina sejak 40 tahun lalu dan mengalami kerosakan seperti kebocoran, palong jatuh serta paras palong tidak sekata.
"Keadaan itu menyebabkan pembaikan perlu dilakukan setiap musim pengairan, sekali gus melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi dan tidak ekonomi," katanya.




