ad

Isu pengambilan tanah Lebuhraya WCE selesai, wakil rakyat harap projek dipercepat

15 Sep 2025, 6:29 AM
Isu pengambilan tanah Lebuhraya WCE selesai, wakil rakyat harap projek dipercepat
Isu pengambilan tanah Lebuhraya WCE selesai, wakil rakyat harap projek dipercepat

SHAH ALAM 15 SEPT: Isu pengambilan tanah serta pampasan yang sebelum ini menjadi cabaran kepada projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini selesai sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Dato' Ng Suee Lim berkata perkembangan itu membolehkan pembinaan jajaran lebuh raya berkenaan dipercepatkan demi manfaat rakyat.

"Masalah pampasan dan rundingan harga yang menimbulkan ketidakpuasan hati penduduk sebelum ini sudah diselesaikan. Saya yakin projek WCE dapat dijalankan segera" katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga EXCO Pelancongan berharap pihak pemaju mempercepatkan penempatan jentera serta mengukuhkan proses pembinaan supaya lebuh raya tersebut dapat disiapkan dalam tempoh lebih singkat.

"Kalau ikut proses memang makan masa, tapi kalau boleh disegerakan lebih baik. Pengguna jalan raya dan penduduk sekitar Anjung Utara sangat mengambil berat isu kesesakan termasuk kerja-kerja pembinaan WCE. Mereka juga berharap projek ini dipercepatkan demi kebaikan semua," ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Dato' Ng Suee Lim

Jelasnya, jadual pembinaan disasarkan siap menjelang penghujung tahun depan. Namun jika dapat diselesaikan lebih awal, ia akan memberi manfaat besar kepada pengguna, penduduk sekitar dan pengunjung ke Kuala Selangor, Sekinchan, Tanjung Karang serta Sungai Besar.

"Ia juga akan menaikkan nilai tanah di persekitaran. Dengan adanya jajaran ini, lebih ramai pelabur dijangka datang ke Anjung Utara kerana sistem jalan raya dan pengangkutan lebih pantas," katanya.

Suee Lim menambah, WCE bakal menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang kerap sesak terutama musim cuti. Walaupun jajaran di Tanjong Karang belum siap, kenderaan di Jalan Persekutuan 5 sudah menunjukkan peningkatan.

"Contohnya pada cuti panjang, ramai pulang ke kampung atau bercuti ke Anjung Utara, Kuala Selangor, Sekinchan, Tanjong Karang dan Sungai Besar melalui jalan ini.

"Ia juga menjadi alternatif kepada Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) untuk ke Setiawan, Bagan Datuk, Teluk Intan, Changkat Jering hingga Pulau Pinang," jelasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk pemilik tanah, agensi berkaitan dan wakil rakyat memberi kerjasama supaya projek strategik ini dapat diselesaikan segera mengikut jadual.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libaturus WCE, Syed Mohammed Idid memaklumkan jajaran WCE di Seksyen 7, Tanjong Karang berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang penghujung tahun 2026 tanpa sebarang masalah pengambilan tanah. 

Katanya kepada Sinar Harian, perkembangan positif itu mengesahkan jajaran tersebut tidak berdepan sebarang halangan besar dan akan diteruskan mengikut jadual.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.