SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan pembangunan kawasan luar bandar yang lebih tersusun termasuk penyelarasan keperluan infrastruktur bagi memastikan kemajuannya seiring dengan pembangunan negeri pada tahun hadapan.
EXCO Kemajuan Desa Dato’ Rizam Ismail berkata, usaha berkenaan turut menekankan kerjasama jawatankuasa komuniti bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Dalam masa sama, kita mahu menganjurkan lebih banyak program yang dapat meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar, selain aktiviti yang mengeratkan perpaduan antara kaum.
“Kita sasarkan segala kemudahan seperti balai raya, kerja mengindahkan kampung dan landskap dapat ditambah baik, namun kita tidak mahu membuang elemen tradisi sedia ada.
“Walaupun Selangor sedang pesat membangun, kriteria kampung tradisi perlu dikekalkan supaya ciri-ciri warisan terus terpelihara dan peradaban masyarakatnya tidak hilang ditelan zaman,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Rizam memaklumkan semua 373 kampung tradisi di negeri ini akan dibangunkan dengan lebih pesat namun masih mengekalkan identiti dan budaya setiap kawasan.
Menurutnya langkah itu akan memberi nilai tambah terutama aspek keselesaan dan kesejahteraan hidup selain meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
Selain itu, beliau turut menjelaskan Kerajaan Negeri komited memperkasa kawasan luar bandar melalui perancangan menyeluruh melibatkan pembangunan infrastruktur serta kemudahan teknologi.











