BANDARAYA GAZA, 4 OKT: Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di selatan Semenanjung Gaza pada Sabtu merayu bantuan khemah, selimut dan bekalan asas menjelang musim sejuk, sambil memberi amaran bahawa kekurangan tempat perlindungan serta bantuan kemanusiaan yang semakin berkurangan boleh menyebabkan ribuan penduduk terdedah kepada hujan, cuaca sejuk dan angin kencang, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Puluhan penduduk yang kehilangan tempat tinggal mengadakan protes di kawasan Fash Farsh di Khan Younis, menggesa pertubuhan antarabangsa dan penderma menyediakan bahan untuk tempat perlindungan, makanan serta bekalan keperluan asas di tengah-tengah sekatan Israel.
"Khemah kami koyak dan perut kami kosong. Jangan biarkan kami berdepan nasib yang tidak menentu," menurut antara sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan.
Beberapa keluarga menyatakan kebimbangan mereka akan berulangnya keadaan yang berlaku pada musim sejuk sebelum ini apabila hujan lebat membanjiri dan merosakkan khemah, menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca buruk. Kematian termasuk dalam kalangan kanak-kanak turut dilaporkan ketika cuaca sangat sejuk dan selepas bangunan yang rosak runtuh.
"Kami bakal menghadapi musim sejuk dan memerlukan kain terpal, khemah, makanan serta bekalan kesihatan supaya kami dapat bertahan dengan hujan lebat dan angin kencang," kata Iyad Zomor kepada Anadolu.
Iyad Al-Shaer berkata banyak khemah hanya memberikan sedikit perlindungan daripada cuaca sejuk, hujan atau angin, sambil menggesa pertubuhan kemanusiaan menyediakan bahan untuk tempat perlindungan sebelum keadaan cuaca bertambah buruk.
Ahmed Hassan Al-Najjar, yang menyelia kawasan Fash Farsh, memberitahu Anadolu bahawa 35 kem penempatan penduduk di kawasan itu menempatkan 6,000 keluarga atau kira-kira 40,000 orang.
Beliau berkata penduduk berdepan kekurangan khemah, kain terpal, bungkusan makanan dan bekalan perubatan serta menggesa bantuan segera disalurkan.
Menurut angka Palestin, serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 telah mengorbankan lebih 74,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,000 yang lain, selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur di wilayah itu.






