PETALING JAYA, 4 OKT: Selepas tersingkir pada pusingan 16 terbaik dua tahun berturut-turut, Muhammad Amier Daniel Mohd Nazri, 16, akhirnya mara ke peringkat akhir Kejohanan Debat Raja Muda Selangor (RMSDC) dan meraih dua anugerah.
Pelajar SM Sains Kuala Selangor itu dinobatkan sebagai Pendebat Keseluruhan Terbaik, selain membantu pasukannya muncul juara keseluruhan.
“Ini kali pertama saya berjaya mara ke peringkat akhir. Sebelum ini saya hanya terhenti di pusingan 16 terbaik selama dua tahun berturut-turut.
“Saya rasa pengalaman ini membuka mata saya kerana dapat mempelajari gaya debat yang berbeza dan unik, seperti gaya debat sekolah swasta atau bagaimana pelajar SMT (Sekolah Menengah Teknik) juga mampu berdebat dengan sangat baik,” katanya ketika ditemui selepas RMSDC di Hotel Sunway Resort, semalam.

Amier berkata beliau turut terkejut dengan pengiktirafan yang diterima kerana tidak menjangkakan akan memenangi anugerah berkenaan.
“Saya agak terkejut kerana tidak menjangka akan menerima anugerah ini. Saya rasa terharu kerana ia menghargai usaha keras saya selama ini,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi ibunya, Amier berkata: “Dia sangat bangga dengan saya kerana memang sudah lama mengimpikan untuk melihat saya berada di atas pentas.”
Amier menyifatkan perjalanan pasukannya penuh suka duka kerana mereka berdepan konflik sepanjang pertandingan, namun belajar menguruskan perbezaan dan menjadi lebih kuat sebagai satu pasukan.
Sementara itu, rakan sepasukannya Umaamah Mohamad Zaid, 16, berkata cabaran terbesar pasukan adalah membina keyakinan.

“Kami tidak mempunyai keyakinan yang tinggi. Kami perlu membina keyakinan itu bersama-sama sebagai satu pasukan,” katanya.
Umaamah yang turut aktif berdebat sejak Tingkatan Satu menyifatkan kemenangan itu sebagai pencapaian terbesar setakat ini.
Menurutnya, pertandingan berkenaan memberi peluang kepada sekolah di seluruh Selangor untuk berdebat di peringkat negeri.
“Perkara terbaik tentang kemenangan bukanlah menang seorang diri, tetapi menang bersama-sama,” katanya.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Hin Hua, Ong Chuan Le, 14, yang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Peringkat Akhir dan membantu pasukannya muncul naib juara, pertandingan itu amat bermakna kerana beliau baru memasuki tahun kedua dalam bidang debat.

“Saya sangat terkejut apabila dinobatkan sebagai pendebat terbaik peringkat akhir,” katanya.
Chuan Le berkata sokongan daripada pelajar senior banyak membantunya mengatasi keraguan sebagai pendebat yang masih baharu.
Menurutnya, pengalaman adalah perkara paling penting yang diperoleh daripada kejohanan itu dan ia menjadi asas penting untuk berjaya dalam debat.
Ketiga-tiga peserta turut berharap kejohanan itu terus memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran debat dan komunikasi.
RMSDC ialah pertandingan debat selama dua hari yang melibatkan 42 pasukan dengan penyertaan 170 pendebat muda dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pertandingan itu dianjurkan sebagai platform untuk golongan muda mencabar idea, bertukar pandangan, membina keyakinan serta mengembangkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.







