SHAH ALAM, 4 OKT: Polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, semalam.
Ketiga-tiga mereka yang merupakan pelajar sekolah sama ditahan beberapa jam selepas mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan kira-kira jam 5.30 petang.
BH melaporkan, seorang daripada pelajar terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu polis melengkapkan siasatan.
Mangsa dipercayai dibunuh sebelum ditinggalkan di dalam dewan sekolah berkenaan.
Dalam kejadian itu, Irene Sofiya ditemukan oleh neneknya bersama seorang rakan yang datang mencarinya selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Warga emas itu menemukan mangsa dalam keadaan terbaring dan lemah.
"Terdapat kesan darah kering ditemukan pada badan mangsa selain lebam seolah-olah dipukul. Selain itu turut ditemukan pasu pecah berdekatan mangsa," katanya.





