Duta Yaman gesa rakyat teladani perpaduan, keharmonian masyarakat Malaysia

3 Okt 2026, 2:00 PM
Duta Yaman gesa rakyat teladani perpaduan, keharmonian masyarakat Malaysia
Duta Yaman gesa rakyat teladani perpaduan, keharmonian masyarakat Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Duta Yaman ke Malaysia Dr Adel Mohamed Ali Ba Hamid menggesa rakyat Yaman, termasuk komuniti yang menetap di negara ini, supaya meneladani pengalaman Malaysia dalam pelbagai aspek yang membolehkannya menjadi antara negara maju dan aman di dunia.

Beliau berkata antara aspek utama yang boleh dicontohi termasuk nilai perpaduan dan semangat cintakan negara, meskipun masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Ambillah daripada pengalaman masyarakat yang berjaya, apa yang terbaik daripadanya, khususnya di Malaysia. Ambillah nilai hidup bersama dan kecintaan kepada negara walaupun terdapat kepelbagaian.

“Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya ini tetap bergerak bersama, dan mereka telah menjadikan Malaysia antara ekonomi maju dan negara yang aman di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Revolusi 26 September dan Revolusi 14 Oktober Yaman di sini, baru-baru ini.

Adel Mohamed berkata pengalaman Malaysia wajar dimanfaatkan warga Yaman sebagai rujukan dalam usaha membina masa depan negara mereka, khususnya dalam bidang pendidikan, kemahiran, pembangunan dan kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut menyeru warga Yaman di Malaysia supaya terus menampilkan imej positif negara mereka menerusi pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan, perniagaan, pekerjaan dan berintegrasi dengan masyarakat tempatan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pelajar Yaman agar tidak membiarkan konflik di tanah air mematahkan impian mereka, sebaliknya terus menuntut ilmu, mendalami bidang pengkhususan dan membina kepakaran sebagai persediaan menyumbang kepada pembangunan semula Yaman.

“Bina diri kamu dengan baik kerana pembangunan Yaman akan memerlukan kamu,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan, kerajaan dan rakyat Malaysia atas layanan mesra, kerjasama, peluang serta suasana kehidupan yang aman dan bermaruah yang dinikmati warga Yaman di negara ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.