ad
AGENDA

Cuaca panas melampau, bimbang risiko bangunan runtuh uji fizikal, emosi anggota SMART

29 Apr 2025, 9:46 AM
Cuaca panas melampau, bimbang risiko bangunan runtuh uji fizikal, emosi anggota SMART

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Suhu ekstrem melebihi 40 darjah Celcius menjadi antara cabaran utama yang dihadapi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ketika menjalankan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) untuk mangsa gempa bumi di Myanmar pada Mac lepas.

Satu-satunya anggota wanita SMART, PB Avlyanie Moidi, 28, yang bertugas sebagai Pembantu Logistik berkata cuaca panas melampau itu memberi kesan besar terhadap daya tahan fizikal pasukan penyelamat termasuk pegawai dan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Antara cabaran paling ketara ialah suhu mencecah lebih 40 darjah Celcius. Panasnya luar biasa dan cuaca seperti itu menyebabkan ramai anggota berdepan keletihan dan kekurangan stamina,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Jendela Fikir: NADMA dan Usaha Malaysia dalam Pengurusan Bencana ASEAN’ terbitan Bernama Radio hari ini.

Selain cabaran cuaca katanya pasukan juga terpaksa berdepan risiko bangunan runtuh akibat gegaran susulan serta halangan komunikasi kerana perbezaan bahasa dan akses yang terhad di lokasi bencana.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus yang turut menjadi tetamu program tersebut.

Avlyanie merupakan antara 50 anggota dan pegawai NADMA yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar pada Mac lepas.

Menurut Avlyanie, misi itu bukan sahaja menguji kekuatan fizikal tetapi juga emosi. Antara detik paling menyentuh hati, katanya, ialah ketika menyaksikan usaha menyelamat seorang ayah dan anak perempuannya yang terperangkap dalam runtukan sebuah kuil sementara ibunya menunggu di luar dalam keadaan cemas dan penuh harapan.

“Sebaik sahaja kami berjaya keluarkan anak dan ayah itu, wajah si ibu ini berubah sepenuhnya...dari harapan jadi kehilangan. Saat tu saya benar-benar terkesan, hanya mampu peluk dan mengucapkan takziah," katanya dengan nada sebak.

Ibu kepada seorang anak itu pernah bertugas dalam Unit K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, satu pengalaman yang membentuk ketahanan diri dan mentalnya.

Bagi Avlyanie, penyertaan dalam misi berisiko tinggi bukanlah alasan untuk wanita meragui kebolehan diri malah menjadi medan untuk membuktikan potensi sebenar.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.