Kalender akademik 2027 bermula 4 Januari, berakhir Disember

2 Okt 2026, 3:09 PM
Kalender akademik 2027 bermula 4 Januari, berakhir Disember

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan Kalender Akademik Tahun 2027 bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan akan bermula 4 Jan hingga 2 Dis 2027, bagi sekolah di negeri Kumpulan A dan 4 Jan hingga 3 Dis 2027 bagi sekolah di negeri Kumpulan B.

Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala, Kumpulan B adalah bagi sekolah di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

KPM juga telah menyelaras tarikh-tarikh bagi cuti perayaan sepanjang tempoh sesi persekolahan tahun 2027, yang melibatkan perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Deepavali, Hari Raya Korban, Pesta Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Wesak dan Hari Krismas.

“Semua sekolah hendaklah mematuhi peruntukan cuti tambahan oleh KPM sempena perayaan utama bagi sambutan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Hari Raya Korban, Hari Wesak dan Hari Deepavali. Peruntukan cuti tambahan berkenaan tidak perlu diganti.

“Kementerian juga menetapkan tarikh pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 akan bermula pada 3 Jan 2028 bagi Kumpulan A dan Kumpulan B,” jelas KPM dalam satu kenyataan hari ini.

KPM berkata langkah penyeragaman itu bertujuan memastikan keselarasan pembukaan sesi persekolahan tahun 2028 di seluruh negara dan memudahkan perancangan pentadbiran sekolah serta pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih teratur dan efektif.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.