EXCO: Program Rumah Prihatin bantu rakyat bina kehidupan lebih selesa

2 Okt 2026, 12:00 PM
EXCO: Program Rumah Prihatin bantu rakyat bina kehidupan lebih selesa
EXCO: Program Rumah Prihatin bantu rakyat bina kehidupan lebih selesa

PELABUHAN KLANG, 2 OKT: Seramai 43 penerima di enam daerah menerima manfaat Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin Selangor membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM2.25 juta bagi kelulusan semasa.

EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata program itu menyediakan dua bentuk bantuan utama iaitu Bina Baharu Rumah bernilai RM85,000 bagi setiap unit dan Baik Pulih Rumah sehingga RM35,000, bergantung kepada tahap kerosakan.

Menurutnya, pemilihan penerima dibuat berdasarkan keperluan dan kelayakan, khususnya membabitkan keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang tinggal di kediaman uzur dan tidak selamat.

“Program ini memang usaha Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan. Kita tidak boleh buat di semua tempat kerana kadang-kadang peruntukan kita terhad.

“Jadi, kita perlu pilih mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya selepas meninjau rumah baharu penerima program di Kampung Baru Telok Gong di sini hari ini.

Beliau berkata, antara penerima terbaharu ialah warga emas, Raujah Marsit, yang menerima rumah baharu selepas kediaman lamanya dikenal pasti uzur dan tidak selamat.

Papparaidu berkata, usaha membasmi kemiskinan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan penerima bukan sahaja dari aspek kediaman, malah kelangsungan kehidupan harian.

Katanya, pendekatan turun padang penting bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran serta membolehkan Kerajaan Negeri menilai sendiri keperluan sebenar penduduk.

“Kita mahu lihat bagaimana kita boleh bantu membasmi kemiskinan secara lebih mendalam. Bukan sekadar slogan, tetapi kita turun padang dan tengok sendiri apa yang rakyat perlukan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pelabuhan Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata penduduk yang ingin memohon bantuan boleh mendapatkan borang melalui ketua kampung, penghulu atau Pejabat Daerah.

Katanya, bagi permohonan bina baharu, tanah yang digunakan perlu dimiliki sendiri sebelum dokumen lengkap dikemukakan untuk pertimbangan.

Daripada 43 penerima bagi kelulusan semasa, Klang mencatat jumlah tertinggi iaitu 13 penerima dengan peruntukan RM568,120, diikuti Kuala Langat 10 penerima (RM538,127.57) dan Sabak Bernam tujuh penerima (RM429,866).

Gombak pula membabitkan enam penerima dengan peruntukan RM310,000, Petaling empat penerima (RM253,000) dan Hulu Selangor tiga penerima (RM154,947).

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.