Sukan Asia: Skuasy wanita berpasukan mara ke final, selangkah pertahan emas

1 Okt 2026, 10:32 AM
Sukan Asia: Skuasy wanita berpasukan mara ke final, selangkah pertahan emas
Sukan Asia: Skuasy wanita berpasukan mara ke final, selangkah pertahan emas
Sukan Asia: Skuasy wanita berpasukan mara ke final, selangkah pertahan emas

NAGOYA, 1 OKT: Skuad skuasy wanita negara kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan selepas mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Pada aksi separuh akhir di Arena Nagoya Kinjo Futo, Malaysia mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan tuan rumah Jepun 2-0.

Ratu skuasy negara S Sivasangari terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain ranking keenam dunia Satomi Watanabe dalam pertarungan lima set 5-11, 11-7, 5-11, 11-6, 11-3 untuk menyumbang mata pertama negara.

Aira Azman kemudian melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi aksi meyakinkan dengan menundukkan Akari Midorikawa 11-8, 11-5, 11-3.

Sivasangari berkata kemenangan ke atas Jepun amat bermakna buat pasukan, terutama selepas beliau berdepan tentangan sengit Watanabe dalam perlawanan pembukaan.

“Sudah tentu kami gembira sebagai satu pasukan. Berdepan Jepun hari ini, saya turun sebagai pemain pertama dan perlawanan agak sukar.

“Satomi lawan yang sangat kuat, jadi saya gembira dapat memenangi perlawanan itu dan menyumbang mata pertama kepada pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Malaysia dijadualkan berdepan Hong Kong pada final esok, sekali gus mengulangi pertembungan perebutan pingat emas edisi Hangzhou 2022.

Hong Kong mara ke pentas akhir selepas menyingkirkan India 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada edisi Hangzhou, Malaysia muncul juara selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam perlawanan akhir.

Sivasangari berkata sasaran skuad negara sudah pasti untuk mempertahankan kejuaraan, namun mereka perlu mengawal tekanan dan memberikan tumpuan sepenuhnya di gelanggang.

Pemain nombor lima dunia yang juga pemenang pingat emas acara perseorangan itu berkata Hong Kong mempunyai barisan pemain mantap dengan kekuatan seimbang, namun Malaysia turut yakin dengan prestasi semasa pasukan.

Sementara itu, Aira yang menampilkan aksi kemas ketika menewaskan Midorikawa berkata beliau berpuas hati dengan persembahannya dan mahu memastikan dirinya berada dalam keadaan terbaik untuk final esok.

“Saya juga cuba menamatkan perlawanan dalam tiga set supaya dapat kekal segar untuk esok,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.