Sukan Asia: Azizulhasni, Shah Firdaus mara separuh akhir keirin

2 Okt 2026, 3:00 AM
Sukan Asia: Azizulhasni, Shah Firdaus mara separuh akhir keirin

SHIZUOKA, 2 OKT: Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom meneruskan cabaran negara dalam acara keirin lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menempah tempat ke separuh akhir di Velodrom Izu, di sini, hari ini.

Kedua-dua pelumba negara itu memperoleh tiket automatik selepas menduduki tempat kedua dalam saringan masing-masing.

Mohd Azizulhasni menamatkan saringan di belakang Xie Han dari China, manakala Shah Firdaus menjadi pelumba kedua terpantas dalam saringannya yang dimenangi To Cheuk Hei dari Hong Kong.

Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Facebook Bernama Radio

Minato Nakaishi dari Jepun dan Kirill Kurdidi dari Kazakhstan turut layak secara automatik selepas menduduki kelompok dua teratas dalam saringan masing-masing.

Pelumba yang gagal melayakkan diri secara automatik masih berpeluang meneruskan cabaran menerusi saringan repechage pertama yang dijadualkan berlangsung kemudian.

Aksi separuh akhir dan final keirin lelaki dijadualkan berlangsung petang ini.

Sementara itu, Nur Alyssa Mohd Farid turut mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pecut individu wanita selepas menewaskan pelumba tuan rumah Aki Sakai 2-0 pada suku akhir.

Bagaimanapun, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang sebelum ini meraih gangsa keirin, gagal mengikut jejak Alyssa selepas tewas 0-2 kepada Jiang Yulu dari China.

Alyssa akan berdepan Yuan Liying dari China, pemenang emas keirin, dalam separuh akhir, manakala Jiang Yulu dijadualkan menentang Mina Sato dari Jepun dalam satu lagi aksi.

Izzah Izzati pula akan beraksi dalam perlumbaan penentuan tempat kelima hingga kelapan.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.