Dua bot nelayan Indonesia ditahan di perairan Tanjong Karang

7 Jan 2026, 2:37 PM
Dua bot nelayan Indonesia ditahan di perairan Tanjong Karang

SHAH ALAM, 7 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan dua bot nelayan Indonesia kerana menangkap ikan di perairan Tanjong Karang semalam.

Mereka ditahan di kedudukan sekitar 17.9 dan 18.2 batu nautika barat daya Tanjong Karang pada jam 2.30 dan 3.30 petang.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, ketika pihaknya melaksanakan rutin rondaan, berjaya mengesan dua bot yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel pertama dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak, manakala vesel kedua dinaiki seorang tekong dan tiga awak-awak.

"Kesemua mereka berusia 36 hingga 53 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta meragukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Muhaimin berkata, kedua-dua vesel terbabit juga melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat yang kurang daripada 38 milimeter (mm) untuk melakukan penangkapan ikan.

Selain itu, katanya, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran.

"Semua mereka dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut. Turut dirampas hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 150 kilogram," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.