LUMUT, 29 SEPT: Malaysia hari ini melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Makhzan Mahyuddin berkata semua individu terbabit melibatkan 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, berusia antara lapan hingga 60 tahun.
Beliau berkata penghantaran pulang itu melibatkan tahanan dari 14 depot imigresen, dengan jumlah tertinggi masing-masing dari Depot Belantik, Kedah dan Depot Tanah Merah, Kelantan.
“Individu terbabit dikenal pasti oleh Kerajaan Myanmar dan nama mereka dikemukakan kepada Malaysia menerusi nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.
“Susulan itu, satu penyelarasan telah dilaksanakan melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan dengan mengambil kira keperluan operasi dan logistik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di KD Sri Indera Sakti pada Program Penghantaran Pulang Tahanan Warga Myanmar Fasa Pertama di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini hari ini.
Makhzan berkata tiga kapal melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia dijadualkan mengiringi dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Myanmar itu sehingga sempadan perairan negara bagi kawalan keselamatan.
Dalam perkembangan sama, Makhzan berkata Jabatan Imigresen merupakan agensi operasi utama bagi pelaksanaan program terbabit, dengan fasa pertama dilaksanakan melibatkan pengesahan dan pemadanan individu dikenal pasti, dokumentasi, penyelarasan dengan agensi berkaitan serta persediaan keselamatan dan logistik.
“Program penghantaran pulang ini merupakan antara langkah yang sedang dilaksanakan dalam pengurusan warga asing dan tahanan imigresen secara lebih teratur, selain dilakukan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab berdasarkan prosedur yang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata selepas fasa pertama selesai, Jabatan Imigresen Malaysia akan mengesahkan hasil pelaksanaan dan menilai aspek dokumentasi, keselamatan, logistik serta penyelarasan antara agensi bagi persediaan fasa berikutnya bagi program penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar.
Tarikh dan jumlah bagi fasa berikutnya akan ditentukan selepas mengambil kira keputusan Kerajaan Malaysia, proses pengesahan individu, kesiapsiagaan operasi serta penyelarasan dengan Kerajaan Myanmar.
Terdahulu, tahanan warga Myanmar terbabit dibawa ke Stadium Daerah Manjung bagi menjalani proses akhir, termasuk pemeriksaan kesihatan, semakan identiti dan dokumentasi yang bermula 4 pagi tadi.
Sebanyak 46 bas yang membawa tahanan warga Myanmar daripada beberapa depot tahanan itu, sebelum dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut untuk proses penghantaran.
Kesemua tahanan terbabit dihantar pulang menggunakan Kapal UMS Moattama bersama dua kapal pengiring, iaitu kapal pengiring UMS King Sin Phyu Shin dan kapal hospital UMS Thanlwin milik Tentera Laut Myanmar yang tiba di sini, semalam.
Sebanyak 850 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri terlibat dalam program berkenaan.
Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar.
Susulan itu, pada 30 Julai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap tahanan warga Myanmar sebagai persediaan penghantaran pulang.
-- BERNAMA







