Malaysia mula hantar pulang pelarian Myanmar secara berperingkat, kata laporan

29 Sep 2026, 2:58 AM
Malaysia mula hantar pulang pelarian Myanmar secara berperingkat, kata laporan

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kira-kira 1,500 pelarian Myanmar yang berada di Malaysia mula dihantar pulang dalam fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela yang mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia, lapor agensi berita antarabangsa AFP. 

Menurut laporan lagi, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada kira-kira 5,000 warga Myanmar yang sedang ditahan di pusat tahanan imigresen dan bersetuju untuk dihantar pulang. 

Tinjauan AFP mendapati puluhan bas yang diiringi polis dilihat tiba di Stadium Majlis Perbandaran Manjung berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Warga Myanmar terbabit dijangka menjalani proses dokumentasi sebelum dibawa ke pangkalan tentera laut untuk dihantar pulang ke negara asal menggunakan kapal.

Setakat ini, jumlah warga Myanmar daripada etnik Rohingya yang terlibat dalam penghantaran berkenaan belum dapat dipastikan kerana pihak berkuasa belum mendedahkan butiran mengenainya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik minoriti Islam Rohingya membentuk kira-kira dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar yang berada di Malaysia.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian dalam satu usaha penghantaran pulang yang jarang dilaksanakan.

Bagaimanapun, rancangan berkenaan menimbulkan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia berhubung keadaan yang mungkin dihadapi pelarian selepas kembali ke Myanmar.

Pengumuman itu dibuat selepas pihak berkuasa menahan lebih 100 pelarian yang berhimpun di luar pejabat agensi pelarian PBB di Kuala Lumpur.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.