Chong Wei kenang jasa Tun Dr Siti Hasmah, tempat pemain menumpang kasih

28 Sep 2026, 12:18 PM
Chong Wei kenang jasa Tun Dr Siti Hasmah, tempat pemain menumpang kasih
Chong Wei kenang jasa Tun Dr Siti Hasmah, tempat pemain menumpang kasih

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Bekas pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu dunia Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai seorang pahlawan, selain tempat beliau dan rakan seperjuangan menumpang kasih suatu ketika dahulu.

Chong Wei berkata kasih sayang yang dicurahkan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyatupadukan pemain badminton negara dan menjadi benteng teguh bagi sukan berkenaan.

“Dalam tempoh hampir 20 tahun karier badminton saya - dari budak hingusan yang baru masuk skuad kebangsaan hinggalah bertanding di pentas dunia - Tun (Dr Siti Hasmah) sentiasa ada. Kalah atau menang, sokongan dan kasih sayang Tun tak pernah putus.

“​Tun layan kami semua macam anak sendiri. Bila ada perselisihan faham dalam pasukan, Tun jugalah yang mendamaikan dengan kelembutan dan kebijaksanaan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu juga mengakui amat sedih atas pemergian bekas penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu pagi tadi.

“Terus teringat masa Terbuka Malaysia awal tahun ini. Bila berhubung dengan Tun, Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita.

“Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar. Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kami berbual,” katanya yang menghargai jasa serta sumbangan Dr Siti Hasmah kepada badminton Malaysia.

Chong Wei berkata senyuman dan kehangatan kasih Allahyarham akan sentiasa terpahat di gelanggang serta di hati seluruh rakyat Malaysia.

“​Berehatlah dengan tenang, Tun. Kami akan sentiasa merindui Tun,” katanya.

Dr Siti Hasmah sebelum ini berkhidmat sebagai Penaung BAM selama lebih dua dekad sehingga 2007, termasuk menjadi saksi kejayaan Malaysia menjulang Piala Thomas buat kali kelima selepas menewaskan musuh tradisi Indonesia 3-2 pada edisi 1992 di Stadium Negara di sini.

Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.