Piala Thomas: BAM pilih pemain cergas 100 peratus, sedia ketepi nama besar

3 Apr 2026, 9:30 AM
Piala Thomas: BAM pilih pemain cergas 100 peratus, sedia ketepi nama besar

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan isyarat jelas bahawa pemain yang tidak berada pada tahap kecergasan 100 peratus, tidak akan disenaraikan bagi membawa cabaran negara pada saingan Piala Thomas 2026 di Denmark, akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei berkata biarpun Lee Zii Jia menjadi aset penting kepada skuad negara, badan induk itu tidak akan mengambil risiko menyenaraikan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu yang sebelum ini dibelenggu kecederaan.

Beliau berkata sekiranya kecederaan dialami Zii Jia belum pulih sepenuhnya, skuad kebangsaan bersedia menurunkan pemain lain yang benar-benar cergas bagi memastikan skuad kebangsaan kekal kompetitif sepanjang kejohanan berpasukan itu.

“Kita tidak akan bawa pemain yang tidak 100 peratus cergas ke Piala Thomas kerana kejohanan itu sangat penting, sama seperti Piala Dunia dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Beliau berkata Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen kini sedang memantau situasi tersebut dan sentiasa berhubung dengan Liew Daren selaku jurulatih Zii Jia, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kecederaan buku lali yang dialami pemain itu.

Chong Wei turut memaklumkan bahawa tarikh akhir penyerahan senarai nama pemain negara ialah pada 11 April ini, sekali gus memberi masa kepada barisan kejurulatihan untuk menilai sama ada bekas juara All England itu mampu kembali cergas sepenuhnya.

“Zii Jia tidak datang latihan sebelum ini sebab cedera dan maklumat yang saya dapat, Zii Jia akan datang esok di ABM, namun masih belum pasti. Jadi kita masih belum mengetahui tahap keadaannya,” kata Chong Wei.

Biarpun berdepan ketidaktentuan itu, Chong Wei tetap berpuas hati terhadap perkembangan pemain perseorangan lain termasuk Leong Jun Hao dan Justin Hoh, yang menampilkan prestasi baik dalam latihan.

Chong Wei turut mendoakan agar Zii Jia segera pulih, sambil menegaskan bahawa prestasi cemerlang pada Thomas Cup 2026 akan menjadi suntikan semangat buat pasukan kebangsaan serta kebangkitan semula pemain itu secara individu.

Piala Thomas dan Uber 2026 akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.