Jenazah Tun Dr Siti Hasmah disolatkan selepas Asar, dikebumikan di Presint 20 Putrajaya

28 Sep 2026, 4:22 AM
Jenazah Tun Dr Siti Hasmah disolatkan selepas Asar, dikebumikan di Presint 20 Putrajaya
Jenazah Tun Dr Siti Hasmah disolatkan selepas Asar, dikebumikan di Presint 20 Putrajaya

SHAH ALAM, 28 SEPT: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah di sini untuk disolatkan petang ini.

Difahamkan, jenazah akan disolatkan selepas solat Asar sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang dari Institut Jantung Negara (IJN) ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada jam 10.48 pagi tadi.

Allahyarhamah Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.

Beliau melanjutkan pengajian menerusi biasiswa kerajaan dan merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya ketika itu.

Ketika menuntut di institusi berkenaan, Allahyarhamah bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pasangan itu berkahwin pada 1956.

Sepanjang kehidupannya, Dr Siti Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa dalam bidang kesihatan.

Sumbangan beliau antaranya menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Allahyarhamah juga mencurahkan khidmat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi bidang kesihatan awam negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.