AKPS kesan cubaan seludup dadah hampir setiap hari di lapangan terbang

27 Sep 2026, 8:02 AM
AKPS kesan cubaan seludup dadah hampir setiap hari di lapangan terbang

SHAH ALAM, 27 SEPT: Cubaan menyeludup keluar dadah termasuk bunga ganja melalui lapangan terbang negara dikesan berlaku dengan kerap, susulan saringan lebih ketat dilaksanakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kebanyakan kes membabitkan warga asing, dengan cubaan dikesan hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya setiap minggu, lapor Berita Harian.

Katanya, saringan di lapangan terbang dipertingkat selepas AKPS diberi tanggungjawab menyelaras pemeriksaan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2, susulan kes seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia.

“Sebenarnya hampir setiap hari kita ada menahan, kalau tidak setiap hari pun tiap-tiap minggu, mereka cuba menyeludup bunga ganja keluar daripada negara.

“Kebanyakannya bukan warga Malaysia, sebaliknya melibatkan warga asing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.

Mohd Shuhaily berkata AKPS turut diberi tiga tanggungjawab utama di lapangan terbang menerusi 17 inisiatif kerajaan bagi memperkukuh kawalan keselamatan dan sempadan negara.

Ia meliputi penyelarasan saringan bersasar, risikan serta tugasan unit anjing pengesan K9 di lapangan terbang antarabangsa.

“Tiga perkara utama itu ialah mengkoordinasi semua saringan secara bersasar, menyelaraskan semua perihal risikan dan menyelaraskan tugasan K9 di lapangan terbang antarabangsa.

“Semua perkara ini sedang kita atur dan insya-Allah, orang ramai akan dapat melihat pelaksanaannya di lapangan terbang kelak,” katanya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memperketat kawalan di pintu masuk negara selain membendung kegiatan penyeludupan dan ketirisan hasil kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily berkata nilai rampasan serta ketirisan hasil yang berjaya dibendung AKPS melonjak kepada lebih RM265 juta setakat tahun ini berbanding RM80 juta tahun lalu.

Katanya, rampasan dadah serta sisa elektrik dan elektronik (e-waste) antara penyumbang utama kepada jumlah berkenaan.

Beliau berkata peningkatan itu turut didorong pengukuhan AKPS menerusi skim baharu serta penerapan budaya kerja dalam kalangan pegawai.

Untuk rekod, AKPS merekodkan nilai rampasan RM140.863 juta bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, hampir sekali ganda berbanding RM82.1 juta sepanjang tahun lalu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.