436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober

27 Sep 2026, 7:31 AM
436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober
436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober
436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober
436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober
436 kontena sisa elektronik dieksport semula, 578 lagi mulai Oktober

SEGAMAT, 27 SEPT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mengeksport semula 436 kontena sisa elektronik menerusi Fasa 1 dan Fasa 2 hasil kerjasama strategik dengan beberapa agensi penguat kuasa serta pihak berkuasa berkaitan.

AKPS memaklumkan kejayaan dicapai menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar serta pihak berkuasa pelabuhan.

“Sebanyak 578 kontena lagi dijadualkan dihantar keluar secara berperingkat bermula Oktober ini,” menurut AKPS dalam kenyataan hari ini.

AKPS turut menyasarkan keseluruhan 1,259 kontena sisa elektronik dieksport keluar dari negara ini menjelang akhir tahun ini.

Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan mencerminkan peranan AKPS bukan sahaja dalam memperkukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan tetapi juga membendung ketirisan hasil negara serta aktiviti jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata agensi berkenaan merekodkan nilai rampasan berjumlah RM265.89 juta sejak Januari lalu hingga kini, kira-kira tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Sisa elektronik dan dadah antara penyumbang utama kepada keseluruhan nilai rampasan dan sekatan ketirisan yang direkodkan AKPS tahun ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.

Mohd Shuhaily berkata kawalan ketat menerusi saringan bersasar di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya membendung pelbagai cubaan penyeludupan dadah secara berterusan.

Beliau berkata penguatkuasaan di KLIA Terminal 1 dan 2 menyaksikan hampir setiap hari terdapat tangkapan melibatkan cubaan menyeludup bunga ganja yang kebanyakannya didalangi warga asing.

Mengenai majlis tamat latihan kursus itu, Mohd Shuhaily berkata 408 pegawai perintis AKPS menamatkan latihan terdiri daripada 39 Penolong Penguasa Sempadan Gred KS5 dan 369 Pembantu Penguasa Sempadan Gred KS1.

Kesemua pegawai baharu itu akan mula ditempatkan di pintu masuk RTS Link Johor Bahru-Singapura bermula 1 Oktober ini bagi menjalani latihan di lapangan.

Mengenai perancangan mengisi 13,721 perjawatan AKPS di 122 pintu masuk negara, beliau berkata proses pengambilan sedang dilaksanakan secara berfasa menerusi penawaran skim perkhidmatan kepada anggota daripada enam agensi teras.

Bagaimanapun, Mohd Shuhaily berkata sekiranya pengisian menerusi fasa pertama dan kedua masih belum mencapai jumlah munasabah, AKPS bersedia membuka permohonan kepada kumpulan lain.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.