SHAH ALAM, 26 SEPT: Beberapa kawasan di selatan Selangor dilaporkan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan ribut petir petang tadi, termasuk Bangi, Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota.
Berdasarkan perkongsian orang awam di media sosial, limpahan air turut dilaporkan berlaku di beberapa laluan utama termasuk jalan menghubungkan Bukit Mahkota ke Nilai 3.
Keadaan itu menyebabkan beberapa jalan ditenggelami air dan mengganggu pergerakan lalu lintas, khususnya di sekitar Bangi, Bandar Seri Putra dan Bukit Mahkota, lapor BH Online.
Kejadian sama turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur termasuk pusat bandar, Bangsar, Damansara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan Segambut.
Maklumat lanjut berhubung keadaan semasa termasuk tahap kerosakan dan kemungkinan penutupan jalan masih menunggu pengesahan pihak berkuasa.
METMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan Hulu Langat yang meliputi tempoh sehingga awal pagi ini.







