LTdL 2026 buka tirai esok, pendakian baharu Gunung Jerai uji pelumba

26 Sep 2026, 1:18 AM
LTdL 2026 buka tirai esok, pendakian baharu Gunung Jerai uji pelumba

SHAH ALAM, 26 SEPT: Debaran edisi ke-30 perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 kian tiba di kemuncaknya dengan pertembungan sengit di tiga puncak tanah tinggi bakal menjadi “menu utama” paling dinantikan apabila perlumbaan membuka tirainya dalam tempoh kurang 24 jam esok.

Menjanjikan ujian ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa, edisi tahun ini membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km) merentasi lapan peringkat di pesisir pantai barat Semenanjung bermula dari Shah Alam sebelum tamat di Putrajaya pada 4 Okt ini.

Kombinasi tiga laluan penamat di zon tanah tinggi meletakkan edisi kali ini antara yang mencabar dalam sejarah penganjuran LTdL terutamanya dengan kemunculan sulung pendakian ke Gunung Jerai, di Kedah pada Peringkat 2.

Sebelum ini, pihak penganjur mengesahkan pengenalan laluan mendaki Gunung Jerai itu dirangka khas bagi menyuntik cabaran lebih agresif selepas profil laluan edisi tahun lepas disifatkan agak “jinak” kerana sekadar melalui Banjaran Titiwangsa dan Bukit Fraser.

Dua lagi laluan berbukit ikonik yang sentiasa menjadi “pengukur” kejuaraan, kini kembali iaitu pendakian ke Cameron Highlands pada Peringkat 4 dan laluan paling digeruni di Genting Highlands pada Peringkat 5.

Berbeza dengan dua edisi terdahulu, keseluruhan laluan perlumbaan tahun ini tertumpu sepenuhnya di koridor pantai barat berikutan kekangan bajet, sekali gus menyaksikan ketiadaan laluan di Pulau Langkawi.

Meskipun tanpa kelibat pulau legenda itu, kehangatan saingan tetap membara dengan kehadiran 20 pasukan berstatus elit termasuk dua pasukan ternama dunia bertaraf WorldTeam iaitu XDS Astana dari Kazakhstan dan Picnic PostNL dari Belanda.

Kehadiran jentera WorldTeam itu bakal dicabar hebat lapan pasukan ProTeam yang memiliki reputasi tersendiri merangkumi Tudor Pro Cycling Team (Switzerland); Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol); TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis); Bardiani CSF-Sauber (Itali); dan muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.

Percaturan di atas jalan raya turut dirancakkan dengan penyertaan sembilan pasukan Benua termasuk dua wakil tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC), di samping penampilan skuad kebangsaan Malaysia.

Biarpun menyaksikan sedikit penurunan jumlah penyertaan berbanding 22 pasukan tahun lepas, bilangan 20 pasukan pada edisi ini masih menepati kuota perlumbaan berstatus ProSeries yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal

Bagi kem pelumba tempatan, tumpuan terarah kepada misi memburu podium dengan sandaran utama diletakkan di bahu Muhammad Nur Aiman Rosli.

Pelumba itu yang hampir mencipta sensasi menjuarai Peringkat 7 tahun lepas sebelum dipintas pada jarak 300 meter terakhir untuk berpuas hati di tempat kedua, kini pastinya turun dengan tekad membara untuk menebus kekecewaan tersebut.

Fokus peminat berbasikal tanah air turut terarah kepada kelibat pelumba terbaik tempatan iaitu Tsen Ren Bao yang mewakili pasukan benua Australia, St George Cycling Team di tangga ke-34 keseluruhan serta Kee Zhe Yie (tangga ke-43) untuk pasukan tempatan.

Di sebalik keterujaan aksi perlumbaan, edisi kali ini turut memperlihatkan kestabilan penganjuran apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kekal sebagai peneraju bersama-sama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), sekali gus menepis khabar angin pengambilalihan oleh kementerian lain sebelum ini.

Sebagai tirai pembuka, Peringkat 1 dijadual bermula esok dari Shah Alam menuju ke Kampar sejauh 193 km, laluan landai yang dijangka menjadi medan awal buat pakar pecut mengumpul mata sebelum peloton mula “berperang” di zon berbukit pada hari berikutnya.

Selepas melepasi ujian getir di tiga puncak utama serta laluan zon selatan merangkumi Rembau, Melaka dan Batu Pahat, teka-teki mengenai siapa yang bakal dinobatkan sebagai raja edisi ke-30 ini akan terjawab pada peringkat penutup dari Muar ke Putrajaya pada 4 Okt.

-- BERNAMA

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.