ALOR SETAR, 25 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi peluang kepada peniaga kecil di setiap kampung mengemukakan cadangan penerima bantuan susulan hasrat kerajaan menambah peruntukan khusus untuk golongan itu dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata cadangan berkenaan penting bagi memastikan bantuan disalurkan kepada peniaga kecil yang benar-benar memerlukan dan berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.
"Saya nak bagi peluang (peniaga kecil) di setiap kampung bagi cadangan, ada tak kawan-kawan lain yang rasa patut diberikan peluang... sebab dalam belanjawan kita bulan depan ini, insya-Allah, saya nak tambah peruntukan untuk (usahawan) ini," katanya ketika merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit di sini hari ini.
Anwar berkata banyak gerai yang diusahakan peniaga kecil turut menyediakan pekerjaan kepada ramai pekerja sekali gus membantu menjana pendapatan masyarakat setempat.
"Peniaga kecil ini bila kita bagi bantuan walaupun kecil, mereka buat kerja sungguh-sungguh dan sangat hargai bantuan yang diberikan," katanya.
Perdana Menteri berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan menentukan kaedah terbaik untuk membantu peniaga kecil yang memerlukan selepas menerima cadangan berkenaan.
Pada majlis hari ini, kira-kira 1,500 usahawan dan penjaja kecil di Kedah berhimpun bagi menyokong usaha Kerajaan MADANI memperkukuh ekonomi rakyat.
Melalui Skim Usahawan Bangkit, kerajaan menyediakan bantuan peralatan perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan usahawan untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti perniagaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus menarik pelaburan asing yang besar bagi meningkatkan taraf ekonomi negara namun pada masa sama, memastikan kemasukan syarikat luar tidak menjejaskan perusahaan tempatan khususnya peniaga kecil.
“Walaupun saya bawa pelaburan asing tapi saya tak ganggu peniaga-peniaga kecil... saya bukan saja-saja pergi luar negara,” katanya.
Beliau berkata pelaburan syarikat-syarikat besar antaranya dalam bidang kecerdasan buatan, komputer dan semikonduktor mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaaan kepada rakyat.
Anwar turut memberi contoh perkembangan teknologi perubatan di China yang ketika ini mampu mengubati orang buta sehingga dapat kembali melihat.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha membantu mengurangkan beban rakyat khususnya dalam isu kenaikan harga barangan.







