
SHAH ALAM, 26 SEPT: Belanjawan Selangor 2027 bagi sektor pertanian akan memberi tumpuan lebih bersasar dengan mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan tambahan.
EXCO Pertanian Dato’ Ir. Izham Hashim berkata antara bidang yang dikenal pasti memerlukan tumpuan tambahan ialah penanaman melon bernilai tinggi.
“Jadi kita dah nampak dah bahagian mana, bidang mana yang kita perlu beri tumpuan tambahan untuk bajet tahun depan. Contoh penanaman melon bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Bersama Menteri Besar Selangor di Selangor International Trade and Exhibition Centre (SITEC), hari ini.

Izham berkata pendekatan itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri yang kini memberi tumpuan lebih khusus kepada kumpulan sasaran dalam penyaluran bantuan dan sokongan.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Pelan Transformasi Agro sejak hampir lima hingga enam tahun lalu dan kini mengenal pasti bidang pertanian yang memerlukan tumpuan tambahan.
“Dalam masa yang sama juga, isu-isu semasa yang kita perlu selesai ataupun isu-isu yang tertunggak, macam isu penempatan lembu, ayam ini, itu kita kena selesai,” katanya.
Menurut Izham, tumpuan Belanjawan 2027 turut mengambil kira aspek pekerjaan serta bantuan kepada golongan rentan dan terpinggir, termasuk petani, menerusi pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Beliau berkata input daripada siri sesi libat urus bersama pemegang taruh akan menjadi antara pertimbangan Kerajaan Negeri dalam menentukan bidang yang perlu diberikan keutamaan menerusi Belanjawan Selangor 2027.







