Bekas calon PRU15 ditahan tolak warga emas jatuh longkang

24 Sep 2026, 8:22 AM
Bekas calon PRU15 ditahan tolak warga emas jatuh  longkang

SHAH ALAM, 24 SEPT: Seorang wanita yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditahan selepas dipercayai mencederakan seorang warga emas dalam kejadian di Taman OUG, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa yang juga bekas pemain hoki Selangor pada era 1960-an dipercayai ditolak secara tiba-tiba sebelum terjatuh ke dalam longkang di hadapan deretan kedai.

Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala, tangan kiri dan belakang badan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu pergi ke sebuah kedai jahit milik rakannya selepas mendakwa dirinya diekori suspek.

Menurutnya, beberapa minit selepas mangsa keluar dari kedai berkenaan, suspek yang berada di luar premis didakwa menolaknya sehingga terhumban ke dalam longkang.

"Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis milik rakan mangsa.

"Rakan mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 12.37 tengah hari hari yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan berkenaan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu sebuah rumah dan menahan wanita terbabit.

Chang Hook berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek menafikan menolak mangsa, selain tidak dapat memberikan alasan munasabah berhubung tindakannya.

"Dia juga didapati tidak mengenali mangsa secara peribadi.

"Suspek kini direman sehari di lokap IPD Brickfields, dengan majistret turut mengeluarkan arahan supaya wanita itu dibawa untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan psikiatri bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Chang Hook berkata mangsa dibawa oleh rakannya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa kemudian ditempatkan di wad kecemasan selama empat hari sebelum dibenarkan pulang pada Isnin lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah," katanya.

Tambahnya, polis masih menunggu laporan lengkap daripada pakar perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung pertuduhan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.