SHAH ALAM, 15 SEPT: Aiskrim goreng yang mahu diambil selepas bermain bola tidak sempat dinikmati Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, apabila dia bersama tiga rakannya ditemukan lemas dalam longkang di Taman Desa Karangan, Sungai Karangan, malam tadi.
Peniaga kecil-kecilan, Norliza Mohamad, 58, berkata Naufan bersama Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, datang membeli kudapan sebelum bermain bola sepak.
“Semalam mereka datang beli jajan (kudapan), Naufan pula mahu makan aiskrim goreng.
“Mereka beritahu akan datang ambil lepas main bola, tapi saya tunggu tak datang-datang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Norliza, keempat-empat kanak-kanak itu kelihatan ceria dan bersemangat mahu bermain bola sepak walaupun cuaca hujan sekitar jam 4 petang.
Katanya, beliau mengenali mereka sejak dua tahun lalu, manakala Naufan dikenalinya sejak kecil dan memanggilnya dengan panggilan ‘Maktok Liza’.
“Saya jual jajan secara kecil-kecilan, hanya jiran dan penduduk di sini, yang datang beli. Kerana itu saya boleh mengenali mereka.
“Cuma dengan Naufan saya sudah kenal dia sejak kecil dan dia panggil saya dengan panggilan 'Maktok Liza'.
“Naufan cakap dia nak makan aiskrim goreng dan mahu ambil selepas bermain bola, namun sehingga ke petang mereka tak datang ambil sehinggalah saya dapat khabar berkaitan penemuan jasad mereka di dalam longkang itu,” katanya.
Norliza berkata beliau terkilan kerana tidak dapat menyerahkan aiskrim goreng berkenaan namun reda dengan pertemuan terakhir itu.
“Mereka sangat rapat, memang satu 'geng' (kumpulan) malah baik serta hormat kepada orang tua,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Karangan, Mohd Azlan Mohd Desa berkata Muhamad Aeril, Muhammad Zafril dan Muhammad Iman Nuruddin adalah murid sekolah itu manakala Muhammad Arif Naufan bersekolah di SJKC Hua Min.
“Mereka sangat rapat di sekolah selain aktif dalam pelbagai sukan dan mewakili sekolah,” katanya.
Pengerusi Penduduk Taman Desa Kayangan, Haffis Jaafar pula berkata pagar di kawasan itu sudah lama didirikan dan tidak pernah berlaku kejadian kerosakan atau pencerobohan.
Tinjauan mendapati tiada kesan pagar rosak atau berlubang di sepanjang lokasi kejadian, manakala jarak antara padang bola dengan lokasi mangsa ditemukan lemas kira-kira 100 meter.
Di dalam longkang itu masih terdapat bola yang dikatakan milik kanak-kanak berkenaan serta seluar seorang daripada mangsa.
Menurut penduduk, keempat-empat kanak-kanak itu dipercayai cuba mengambil bola yang hanyut di dalam longkang berkedalaman kira-kira tiga meter sebelum terjatuh.






