SKMM, PDRM perkukuh kerjasama banteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian

24 Sep 2026, 7:25 AM
SKMM, PDRM perkukuh kerjasama banteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian

PUTRAJAYA, 24 SEPT: Kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus diperkukuh dalam membanteras penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian bagi tujuan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata SKMM sebagai agensi teknikal akan terus memainkan peranan penting membantu PDRM terutamanya Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam mengesan pihak yang menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Peranan SKMM ini bagi memastikan mana-mana pihak menyalahguna perkhidmatan rangkaian boleh dikesan, diberkas dan dibawa ke muka pengadilan terutama mereka yang memangsakan sama ada kanak-kanak mahupun wanita,” katanya selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata kerjasama itu turut melibatkan aspek teknikal dan forensik dalam membantu siasatan yang dijalankan PDRM terhadap kegiatan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.

Pada 22 September, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar berkata lapan remaja dengan seorang daripadanya berusia 13 tahun, antara 53 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi Ops Pedo Bersepadu 3.0 yang dijalankan baru-baru ini.

Mereka ditahan dalam operasi serentak dari 14 hingga 16 September hasil risikan D11 JSJ bersama SKMM dengan polis turut mengesan kegiatan menghasilkan, mengedar dan menjual video serta animasi berkaitan CSAM menerusi kumpulan tertutup dalam talian, dengan kandungan berkenaan ditawarkan pada harga antara RM50 dan RM60.

Dalam pada itu, Fahmi berkata SKMM turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan platform media sosial menerusi kerangka perundangan berkaitan keselamatan dalam talian.

“Kita juga melalui Akta Keselamatan Dalam Talian memberi penegasan kepada platform media sosial untuk pastikan environment ataupun platform itu sendiri sentiasa selamat terutama untuk wanita dan kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun media sosial,” katanya.

Sementara itu mengenai Majlis Jasamu Dikenang yang meraikan 157 pesara dan bakal pesara Kementerian Komunikasi, Fahmi berkata pengalaman dan pandangan penjawat awam yang telah bersara perlu terus dimanfaatkan bagi membantu penambahbaikan perkhidmatan kerajaan, khususnya dalam bidang komunikasi.

“Saya doakan agar mereka terus dapat mencari jalan untuk menyampaikan pandangan, menyumbang bagi memastikan usaha pihak kerajaan, terutama dalam bidang komunikasi terus berjaya di mata rakyat.

“Sekiranya ada apa-apa yang mereka ingin sampaikan untuk kami tambah baik, saya sangat terbuka untuk menerima pandangan mereka,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.