Kesaksamaan gender pemangkin pembangunan sosioekonomi negara

24 Sep 2026, 7:00 AM
Kesaksamaan gender pemangkin pembangunan sosioekonomi negara
Kesaksamaan gender pemangkin pembangunan sosioekonomi negara
Kesaksamaan gender pemangkin pembangunan sosioekonomi negara

BANGI, 24 SEPT: Kesaksamaan gender perlu dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi dan bukan sekadar isu keadilan sosial, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata penyertaan wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kepimpinan perlu terus diperkukuh bagi memastikan potensi golongan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam pembangunan negara.

“Usaha merapatkan jurang gender penting kerana wanita mempunyai peranan besar dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

“Kita perlu memastikan wanita mempunyai ruang dan peluang untuk terus menyumbang dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, kepimpinan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Gender Outlook Forum (GOF) 2026 anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Dewan Utama Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari; Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) UKM, Prof Dato’ Dr Fariza Md Sham.

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata pencapaian wanita dalam pendidikan menunjukkan perkembangan positif apabila sub indeks pencapaian pendidikan Malaysia Gender Gap Index (MGGI) merekodkan skor 1.073, menunjukkan pencapaian wanita melebihi lelaki dalam aspek berkenaan.

“Sementara itu, sub indeks kesihatan dan kehidupan pula mencatatkan skor 0.962 manakala jangka hayat wanita di Malaysia mencapai 77.6 tahun.

“Selain itu, berdasarkan MGGI 2025, Malaysia mencatat skor keseluruhan 0.708 manakala Selangor merekodkan 0.725,” katanya.

Wan Azizah berkata sistem sokongan yang kukuh amat penting dalam kehidupan wanita, khususnya golongan ibu mengimbangi tanggungjawab keluarga dengan penyertaan dalam ekonomi.

Katanya, pelaksanaan skim perlindungan sosial seperti i-Suri dan i-Sayang merupakan antara usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial untuk golongan wanita.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), agensi berkaitan serta sektor swasta dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong penyertaan wanita dalam pembangunan negara.

Pada program sama, turut dilancarkan Manual Belanjawan Responsif Gender (BRG) sebagai panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengintegrasikan perspektif gender secara sistematik dalam perancangan dan pengagihan bajet.

Wan Azizah turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara WBS dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), diwakili Dr Jullita Onabanjo.

GOF 2026 anjuran WBS membincangkan pelbagai isu berkaitan kesaksamaan gender, termasuk undang-undang keluarga Islam, ketidaksamaan ekonomi, pendigitalan, ekonomi penjagaan dan penyertaan wanita dalam politik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.