Sukan Asia: Malaysia selangkah tamat penantian emas 36 tahun sepak takraw

24 Sep 2026, 4:34 AM
Sukan Asia: Malaysia selangkah tamat penantian emas 36 tahun sepak takraw

NAGOYA, 24 SEPT: Impian skuad sepak takraw negara untuk menamatkan penantian 36 tahun bagi meraih emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 terus bernyala selepas menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi separuh akhir, berlangsung di Paloma Mizuho Arena, hari ini.

Turun dengan misi wajib menang, trio pertama negara dibarisi Zulkifli Abd Razak (tekong), Muhammad Afifuddin Mohd Razali (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri), bagaimanapun gagal memberikan mata awal selepas tewas kepada gandingan Saiful Rijal, Yudha Aswinatama dan Muhammad Hardiansyah Muliang 15-10, 13-15, 13-15.

Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi regu utama yang menampilkan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam selepas menewaskan lawan mereka 15-10, 15-6.

Pada aksi penentuan, gandingan negara yang dibarisi Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Hafizul Hayazi Adnan serta Muhammad Haziq Hairul Nizam (gantian) berjaya memastikan kemenangan Malaysia untuk melengkapkan kebangkitan 2-1 menewaskan Indonesia 11-15, 15-11, 15-11.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menempah tiket ke final dan berpeluang menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara berkenaan.

Malaysia akan berdepan dengan Thailand pada final esok, selepas juara bertahan itu menewaskan tuan rumah Jepun 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia menaiki podium tertinggi acara regu berpasukan pada temasya itu adalah pada Sukan Asia Beijing 1990.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.