SHAH ALAM, 23 SEPT: Kualiti udara di enam kawasan pemantauan di Selangor kekal pada tahap sederhana, dengan Johan Setia merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi dalam negeri iaitu 79 setakat jam 8 malam ini.
Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Petaling Jaya dan Shah Alam masing-masing mencatat IPU 69, diikuti Kuala Selangor (68), manakala Klang serta Banting masing-masing merekodkan 59.
Dalam perkembangan sama, keadaan kualiti udara di Sarawak lebih terjejas apabila IPD Serian mencatat IPU 206, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sebanyak 12 kawasan lain di negeri itu merekodkan tahap tidak sihat, dengan Kuching mencatat IPU 187, Samarahan (183), Sri Aman (175) dan Bintulu (173).
Sibu pula merekodkan bacaan 166, diikuti Samalaju dan Sarikei masing-masing 164, manakala Miri serta Mukah masing-masing mencatat 160.
Limbang dan ILP Miri masing-masing merekodkan IPU 153, sementara Kapit mencatat 126.
Secara keseluruhan, 10 kawasan di seluruh negara berada pada tahap baik.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat.







