PM: Institusi raja perlu terus dipelihara, dimartabatkan

23 Sep 2026, 9:14 AM
PM: Institusi raja perlu terus dipelihara, dimartabatkan

SHANGHAI, 23 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa institusi utama iaitu institusi raja-raja Melayu perlu terus dipelihara dan dimartabatkan.

Beliau berkata sebarang perbezaan pendapat dan pandangan serta pertelingkahan boleh dikemukakan asalkan melalui saluran yang betul.

Menyentuh mengenai tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Ismail Lasim dan barisan Exco Negeri Sembilan kebelakangan ini, beliau menyifatkan tindakan Ismail dan lain-lain merupakan satu kesalahan besar dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Dan yang paling saya fikir tidak munasabah ialah Menteri Besar dan Exco yang buat keputusan. Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras.

“Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?,” kata Anwar kepada media Malaysia ketika menaiki kereta api berkelajuan tinggi menuju ke Hangzhou bagi meneruskan lawatan kerja tiga hari, yang bermula semalam.

Perdana Menteri berkata beliau tidak memahami tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar dan Exco berhubung beberapa hal berkaitan institusi raja sehingga menimbulkan polemik di Negeri Sembilan.

"Itu masih boleh kita bincang dan batalkan, tetapi saya tidak boleh fikir seorang pemimpin Melayu boleh bawa usul jatuhkan Raja Melayu. Saya tidak boleh terima sama sekali," kata beliau ketika mengulas mengenai polemik di Negeri Sembilan.

Semalam, Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memutuskan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.

"Jadi, saya nak tegaskan satu kesalahan besar bagi saya tentang yang mereka lakukan dan Kerajaan Persekutuan, kalau tanya bidang kuasa. Kita tunduk pada Perlembagaan.

"Saudara cemar dan langgar Perlembagaan, kita akan pertahankan. Kalau saya pimpin negara ini, saya nak pastikan Perlembagaan dihormati. Saya nak pastikan jangan ada kebiadapan termasuk mempertikaikan kedudukan raja," kata Anwar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.