HANGZHOU, 23 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke supaya mempertimbangkan semula hasratnya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata DAP juga tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak yang mempunyai kepentingan politik supaya berundur daripada kerajaan semata-mata mahu melihat Kerajaan Perpaduan menjadi tidak stabil.
Anwar pada masa sama mempersoalkan desakan supaya keseluruhan DAP meninggalkan pentadbiran kerajaan sekiranya Loke yang juga Setiausaha Agung parti itu meletakkan jawatan.
“Ada orang kata, kenapa Anthony Loke? Patut semua DAP keluar. Itu cadangan siapa? Kenapa dia nak keluar? Dia tidak ada salah. Bukan dia cadangkan (keputusan pengampunan), malah dia cuba sedaya upaya menolak.
“Jadi saya fikir DAP jangan tunduk kepada tekanan orang ada kepentingan, kerana dia mahu kerajaan tidak stabil. Mereka mahu cari jalan melemahkan kerajaan menggunakan muslihat kotor ini,” katanya kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, lapor Harian Metro.
Beliau mengulas desakan terhadap Loke supaya meletakkan jawatan serta DAP keluar kerajaan susulan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani hukuman tahanan dalam rumah.
Anwar berkata beliau akan mengadakan rundingan lanjut dengan Loke dalam masa terdekat bagi mendengar penjelasan rasmi, selain meminta pemimpin DAP itu menarik balik keputusan berkenaan.
“Saya bagi ruang dan tidak mahu terburu-buru kerana hormat keputusan beliau. Beliau bukan menentang keputusan saya atau Kerajaan MADANI dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Beliau fikir sukar untuk mempertahankan keputusan Lembaga Pengampunan itu apabila partinya, malah Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak awal mempunyai pendirian cukup tegas dalam bab ini,” katanya sambil mengakui menghormati prinsip perjuangan Loke dan DAP yang konsisten menentang kleptokrasi serta rasuah sejak berpuluh tahun lalu.
Anwar turut berkata isu dan pandangan berhubung perkara berkenaan sudah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim termasuk pendirian Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Beliau pada masa sama mengingatkan mengenai keterbatasan kuasa Eksekutif di bawah prinsip Perlembagaan Persekutuan selain menolak dakwaan wujud kompromi atau pakatan rahsia dengan kepemimpinan UMNO, sambil menegaskan keutamaan pentadbiran adalah mengekalkan kestabilan politik, hubungan baik dengan institusi Raja-Raja Melayu dan memacu pertumbuhan ekonomi.









