Mayat lelaki dalam ruang tayar pesawat belum dituntut

23 Sep 2026, 6:50 AM
Mayat lelaki dalam ruang tayar pesawat belum dituntut

SHAH ALAM, 23 SEPT: Mayat lelaki tanpa identiti yang ditemui dalam ruang pendaratan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang pada 27 Ogos lalu masih belum dituntut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata setakat ini polis juga belum memperoleh sebarang petunjuk atau maklumat lanjut yang membolehkan identiti mangsa disahkan.

“Tiada individu tampil menyalurkan maklumat. Justeru, jika ada keluarga yang menyedari kehilangan ahli keluarga mereka atau masih belum pulang ke rumah, diminta segera berhubung dengan balai polis berhampiran bagi melengkapkan siasatan.

“Identiti mayat terbabit juga masih belum dapat ditentukan setakat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menyampaikan sidang media mengenai kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pada 21 Julai 2026. Foto Facebook Polis Selangor

Mengulas punca keberadaan mangsa di dalam ruang pesawat berkenaan, Shazeli berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata kejadian pencerobohan dan penemuan individu di dalam ruang simpanan tayar pesawat bukan kali pertama berlaku.

“Ini bukan kes pertama seumpamanya. Bagaimanapun, saya enggan membuat sebarang kesimpulan awal bagi mengelakkan siasatan tersasar. Kita akan tunggu hasil siasatan kelak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mayat lelaki yang dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditemui dalam keadaan mereput di kawasan parkir pesawat pada 27 Ogos lalu.

Mangsa ditemui kira-kira jam 6.55 pagi oleh kru kejuruteraan yang terhidu bau busuk ketika ditugaskan membuka ruang tayar pesawat terbabit, sejurus pesawat berkenaan mendarat dari Tokyo, Jepun pada jam 6.30 pagi.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 72 jam sebelum ditemui. Mangsa memakai seluar jeans biru muda, tali pinggang kulit berwarna coklat, stokin dan kasut sukan hitam, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemukan.

Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan hilang serta gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya mereka yang mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA, digesa tampil ke balai polis berdekatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.