SHAH ALAM, 22 SEPT: Jabatan Penjara Malaysia meminta sebarang maklumat atau aduan berkaitan kemasukan barangan larangan ke dalam institusi penjara dilaporkan kepada polis atau saluran rasmi berkaitan bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil.
Jabatan itu berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap dakwaan berkaitan salah laku atau pelanggaran undang-undang dapat disahkan berdasarkan fakta dan bukti.
“Sehubungan itu, Jabatan Penjara menegaskan bahawa sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke dalam institusi penjara hendaklah dilaporkan kepada polis atau saluran rasmi yang berkaitan bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan,” menurut kenyataan.
Penegasan itu menyusuli laporan media berhubung dakwaan wujudnya pembabitan pegawai kanan dalam memudah cara kemasukan barangan larangan ke dalam penjara.
“Jabatan Penjara tidak menafikan bahawa salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi.
“Setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan tatacara operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, operasi berkaitan kawalan keselamatan, pemeriksaan dan pemantauan dilaksanakan berdasarkan SOP, manakala aktiviti perisikan dan semakan keselamatan dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan.
Katanya, langkah itu membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikesan.
Dalam pada itu, Jabatan Penjara berkata pihaknya sentiasa terbuka terhadap sebarang maklumat yang boleh membantu memperkukuh sistem keselamatan dan pengurusan penjara.
“Pada masa yang sama, sebarang dakwaan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sewajarnya supaya ia dapat disahkan dan ditangani berdasarkan fakta serta bukti,” katanya.
Jabatan Penjara turut menasihatkan orang awam supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Menurutnya, SOP, kawalan keselamatan, perisikan dan mekanisme pemantauan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa bagi memastikan institusi penjara kekal selamat dan terkawal.






